Sebenarnya masyarakat Islam adalah sebuah komuniti yang berpegang teguh kepada akidah dan ideologi. Daripada kedua-dua elemen itu muncullah cabang seperti undang-undang, hukum-hakam, peradaban dan tatasusila.

Namun, ini bukanlah bermakna bahawa orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada pada peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa.

Umat Islam menjalinkan hubungan sesama Islam, begitu juga dengan mereka yang bukan menganuti Islam. Dasar-dasar tetap telah digariskan yang merangkumi prinsip-prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam.

Prinsip utama dalam melayani orang bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek sahaja. Aspek-aspek pengecualian ini pula amat terhad dan hanya berkisar dalam perkara-perkara melibatkan ibadat sahaja.

Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam. Hak ini merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman daripada dalam negara. Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup.

Hak ini adalah hak sama yang dikecapi orang Islam. Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melindungi walaupun setitik darah mereka.

Orang Islam dalam negara Islam juga dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau mencerobohi diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah mereka. Apatah lagi umat Islam ditegah daripada membunuh orang bukan Islam. Ini adalah disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka, begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka.

Islam menjamin bukan Islam mengamalkan agama mereka. Bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadat mengikut agama mereka.

Bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan agar mereka memeluk Islam. Sejarah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

Sebahagian ulama mengatakan orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan dalam kerajaan Islam selain daripada jawatan yang melibatkan hal keagamaan seperti Ketua Negara, Ketua Angkatan Tentera, Ketua Hakim dan sebagainya yang mana jawatan tersebut akan melibatkan urusan agama. Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan tersebut.

Bagi jawatan Ketua Negara umpamanya, sebahagian ulama menjelaskan jawatan tersebut melibatkan pentadbiran sebuah negara Islam yang merupakan negara ideologi. Maka adalah wajar bagi orang Islam sendiri mengendalikannya, begitu juga dalam hal jawatan Ketua Angkatan Tentera yang mana dalam Islam sebenarnya mempertahan kedaulatan negara adalah satu ibadat. Jihad adalah kemuncak seluruh ibadat dalam Islam.

Oleh itu dalam hal ibadat seperti ini mungkin tidak wajar ia diserahkan kepada orang bukan Islam. Namun begitu orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama dengan orang Islam berjuang mempertahan kedaulatan negara. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menjadi askar dalam sebuah Negara Islam.

Dalam hal muamalah pula, orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian. Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing.

Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing untuk memajukan diri mereka sendiri. Orang bukan Islam tidak ditindas dalam mencari kekayaan dan ini memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak.