“Tetapi, tidak ramai yang suka mendengar tentang kesan daripada dosa-dosa atau kejahatan yang dilakukan dalam hidup,” kata Ismail Musa Menk.

Sedangkan menurut Mufti Zimbabwe itu, Allah SWT bukan hanya menjanjikan balasan baik kepada mereka yang berbuat baik, tetapi turut menekankan tentang kesan bakal diterima sekiranya mereka melakukan kejahatan.

“Allah dengan jelas telah menyatakan bahawa sesiapa yang berpaling atau ingkar daripada ingatan dan perintah-Nya, maka sesungguhnya mereka akan diberikan kehidupan yang sempit, penuh kemurungan, kesedihan, kebimbangan dan tekanan.

“Jadi, apabila anda mengingkari suruhan Allah sama ada melakukan apa yang dilarang atau tidak mengamalkan suruhan-Nya seperti tidak sembahyang, tidak mengeluarkan zakat, mendedahkan aurat, berjudi, mengambil makanan haram maka mereka akan diberikan kehidupan yang penuh kesusahan.

“Bila membicarakan tentang pakaian, ramai lebih memandang kepada wanita. Sedangkan realitinya sesetengah lelaki muda juga perlu menitikberatkan aurat mereka kerana dilihat sering memakai pakaian ketat sehingga menampakkan separuh daripada belakang tubuh. Perlu diingat, lelaki bukan hanya perlu menutup aurat daripada pusat ke lutut, tetapi perlu memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata,” katanya.

Mungkin ramai yang masih tidak dapat membezakan sama ada kesukaran dilalui itu adalah balasan daripada dosa-dosa dilakukan atau sekadar ujian diturunkan Allah kepada hamba-Nya.

Sebabnya, ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh daripada Allah. Ada pula sesetengah yang lain, setiap ujian menimpa mendekatkan lagi diri dan pergantungannya kepada Allah serta mereka yakin bahawa tidak akan berlaku sesuatu musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

Terima ujian dengan syukur

Mufti Menk menjelaskan, bagi mereka yang sentiasa mematuhi perintah dan suruhan Allah, mereka akan menerima semua ujian dengan rasa syukur tanpa perasaan tertekan. Biarpun sakit, susah, tiada makanan sekali pun, mereka masih menyebut ‘Alhamdulillah’.

“Tetapi, apabila seseorang itu mula rasa tertekan dan mempersoalkan dugaan yang diterima, berkemungkinan itulah kesan daripada dosa yang pernah dilakukan. Mereka akan mula rasa marah, sedih dan emosi terganggu. Itu sebenarnya bukan ujian Allah, tetapi hukuman atas dosa mereka.

“Lebih teruk dan kesan ketara yang bakal dialami adalah, ilmu agama yang selama ini dipelajari perlahan-lahan mula terhakis,” katanya.

Mufti Menk menerangkan, mereka yang melupakan Allah itu akan mula lupa tentang apa yang dipelajari dan akhirnya akan akan hilang fokus serta tidak dapat menghayati keindahan ayat suci al-Quran. Malah, apa sahaja perintah dan suruhan Allah dianggap beban yang besar untuk dilakukan.

Lebih menakutkan katanya, tanpa sedar mereka akan terus bergelumang dengan dosa, melakukan satu kejahatan kepada satu kejahatan.

“Sebenarnya, apabila manusia melakukan kejahatan, ‘kegelapan’ mula mewarnai hidupnya. Mereka lebih takutkan manusia atau persekitaran berbanding Allah.

“Mereka mengalami perasaan was-was dan mula mendengar suara-suara lain kerana syaitan akan datang mengganggu mereka.

“Walaupun anda melakukan dosa seperti mengambil benda atau makanan haram 30 tahun yang lalu, itu pun dalam tempoh dua tahun sahaja, tetapi anda akan merasai kesannya selama bertahun-tahun melainkan anda meminta pengampunan daripada Allah,” katanya.

ANUGERAH TERBESAR

Hadiah terbesar yang disediakan Allah untuk hambanya adalah Taubat. Sebabnya, walau sebesar mana sekali pun dosa kita, Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang yang sentiasa menerima taubat hamba-Nya.

Bertaubat bererti menyesal terhadap dosa-dosa yang telah lalu, berazam atau tekad tidak akan mengulanginya dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa disamping melakukan kewajipan serta meninggalkan kemunkaran.

Sekiranya seseorang itu melakukan dosa, lalu bertaubat, maka adalah mudah baginya untuk menerima hidayah Allah. Namun, sekiranya dosa-dosa yang dilakukan itu terus-menerus berganda dan menebal, hati individu berkenaan akan tertutup daripada menerima hidayah Allah.

Menurut Mufti Menk, Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang, kecuali mereka memohon keampunan. Bagaimanapun pintu taubat sentiasa terbuka selagi manusia itu bernafas dan rohnya belum tiba di halkum ketika sakaratulmaut serta dunia belum lagi kiamat.

“Allah telah menyediakan anda ‘pengawal’. Apa yang anda perlu lakukan hanya membuka pintu tersebut dan membenarkan ‘pengawal’ itu masuk.

“Tetapi, anda tidak kisah pun untuk membuka pintu tersebut. Malah, hendak membaca ayat Kursi yang hanya dua minit untuk membuka pintu berkenaan pun susah dibuat. Jadi, macam mana Allah hendak membantu,” katanya.

Jelasnya, segeralah bertaubat sebelum kematian menjengah kerana mereka yang melakukan dosa akan menerima kematian dalam keadaan tidak diingini manusia iaitu kematian tidak diredai.

“Kematian tidak diredai Allah bukan apabila badan berkecai, tetapi mati dalam keadaan diri telah melupakan Allah.

“Sebolehnya kita inginkan kematian yang baik. Mati dengan mengingati Allah dan mati selepas sempat meminta pengampunan-Nya. Perlu diperingatkan bahawa penderitaan di dunia ini terlalu ringan berbanding dengan seksaan Allah di akhirat kelak,” katanya.