Tiada siapa yang mampu melakukan semuanya seorang diri. Justeru, manusia disebut juga sebagai makhluk sosial. Memberi dan meminta adalah juzuk yang kecil dalam keterkaitan hidup sosial sesama manusia.

Sikap memberi adalah sesuatu yang menarik untuk dibahas. Naratif hadis banyak memuji sikap memberi dan membantu dalam agama. Antaranya daripada Hakim bin Hiram r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka mulailah untuk orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah paling baik adalah daripada orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka sesiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya.” - Riwayat Bukhari, nombor: 1338.

Kesimpulannya, perbuatan memberi itu lebih baik daripada meminta. Mengapa? Kerana dengan memberi kita dapat menunjukkan perhatian kita kepada orang lain. Keinginan orang lain dapat dipenuhi dan pastinya dapat menyenangkan hati orang lain. Apatah lagi jika pemberian itu kepada mereka yang benar-benar dalam kesulitan dan kesusahan. Ia tentunya dirasakan lebih rahmat dan membahagiakan.

KONGSI RASA DALAM MEMBERI

Kita dikejutkan dengan nostalgia tsunami yang pernah melanda Aceh dan sebahagian kecil kawasan di Kuala Muda Kedah tanggal Disember 2004 lalu. Kini peristiwa sama membadai saudara kita di Sulawesi, Indonesia. Lebih 800 nyawa terkorban. Dilaporkan angka itu dijangka meningkat.

Sudah tentu perkara ini memberikan kesan emosi dalam diri terutama buat saudara seagama dengan kita. Orang kita terutama akan lebih terkesan, tergerak dan sudi membantu dengan sepenuh hati jika dalam isu sebegini. Seolah-olah mereka ‘berkongsi’ rasa derita dan pilu ketika memberi.

Kerana itu syariat Islam mempunyai mekanisme unik dalam kewajipan membantu sesama saudara Muslim. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakat menyatakan bahawa golongan yang ditimpa musibah seperti banjir dan seumpamanya layak untuk menerima zakat menerusi peruntukan asnaf al-Gharimin (orang yang berhutang).

Antara kriteria penerimaan zakat oleh asnaf ini adalah kedudukan mereka terpaksa berhutang untuk diri sendiri atau orang lain. Terlebih khusus untuk dimasukkan dalam golongan asnaf al-Gharimin ini adalah mereka yang dikejutkan dengan bencana alam hingga menyebabkan mereka hilang atau keputusan sumber pendapatan dan menyebabkan terpaksa berhutang kerana keperluan mendesak terhadap diri dan keluarga, maka hukumnya dibolehkan zakat untuk mereka. [Fiqh Zakat 2/622]

Ini bersumberkan daripada sebuah hadis daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali r.a. menyatakan yang mafhumnya:

“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda: Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu. Kata Qabisah: Kemudian Baginda SAW bersabda: Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan, maka halal baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya; lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya, maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya; lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran, maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.” - Riwayat Muslim, nombor 1044.

Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan: “Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup, maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.”

BERI TANPA SYARAT

Apapun pemberian yang diberikan, baik barangan, wang ringgit mahupun jasa, baik diminta atau tidak, biarlah tulus tanpa syarat. Sebagaimana kita teruja dan penuh emosi untuk memberikan bantuan kepada saudara kita di negara bencana, begitulah jua perihalnya tatkala membantu saudara terdekat yang memerlukan.

Khuatir, segelintir kita tatkala membantu terutama dalam negara sendiri memberi syarat itu dan ini yang diselitkan. Usah pilih kasih dalam menawarkan kebahagiaan.

Pemberian terbaik bukan dilihat daripada ukuran, jumlah atau harganya, tapi dilihat daripada seberapa besar ketulusan di sebalik pemberian itu. Namun, keinginan mendapatkan manfaat timbal balik daripada pemberian itu akan mengundang sisi yang lain.

Allah berfirman dalam surah al-Mu’minun ayat 60: “Sesiapa yang memberikan apa yang telah diberikan (oleh Tuhan), dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan yang banyak dan merekalah orang yang segera memperolehnya.”

Inilah kelompok istimewa yang memurnikan pemberiannya dengan rasa takut dan malu jika tidak diterima amalan tersebut oleh Allah. Sikap ini bersumber daripada perasaan takut tatkala mereka dinilai oleh Allah, kerana khuatir mereka berlaku semberono terhadap pensyaratan memberi.

Aisyah r.a. pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan orang yang mengerjakan perbuatan mereka, sedangkan hati mereka takut?” (Surah al-Mukminun, ayat 60) Apakah mereka itu orang yang mencuri, berzina dan minum arak dalam keadaan takut kepada Allah? Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, wahai anak perempuan al-Siddiq. Tetapi mereka adalah orang yang solat, puasa dan bersedekah, sedangkan hati mereka merasa takut tidak diterima amalnya. Mereka itu bersegera mendapat kebaikan-kebaikan (Surah al-Mukminun ayat 61),” - Riwayat Tirmizi.

Urusan kita bukanlah untuk memikirkan sebesar mana nanti balasannya. Urusan kita adalah untuk memberi tanpa syarat, memberi dengan ketulusan.