Dibesarkan dengan didikan agama sejak dari kecil, bapanya, Syeikh Husaini al-Sibaie merupakan tokoh agama yang juga pejuang pembaharuan disegani di negara itu.

Tidak hairanlah beliau dan keturunannya mewarisi tanggungjawab sebagai imam dan khatib di Masjid Besar Homs. Bapanya pernah terlibat dalam gerakan bersenjata menentang penjajahan Perancis dan terkenal dengan kerja amal melalui badan kebajikan yang ditubuhkan.

Sejak kecil, Mustafa telah menghafal al-Quran dan mempelajari asas-asas ilmu agama daripada bapa dan guru-gurunya. Setelah tamat sekolah rendah dengan cemerlang, beliau melanjutkan pelajaran ke Maahad Syarie di Homs pada 1930.

Sejak di peringkat ini lagi beliau telah menunjukkan bakat kepimpinan dalam medan dakwah. Mustafa turut menubuhkan beberapa persatuan antaranya Ikatan Agama Homs, Pemuda Muhammad SAW dan sewaktu di Damsyik beliau menubuhkan Pemuda Islam Damsyik.

Belum mencecah usia 18 tahun, beliau diberi kepercayaan untuk berkhutbah menggantikan bapanya. Pada waktu itu, usahanya tertumpu untuk menentang penjajahan Perancis.

Beliau menubuhkan satu gerakan untuk menentang sekolah-sekolah yang ditaja oleh penjajah kerana disyaki mempunyai agenda kotor. Beliau menulis dan menyediakan pelbagai informasi bertujuan menimbulkan kesedaran rakyat supaya menolak penjajah serta membongkar niat buruk mereka melalui penubuhan sekolah tersebut.

Tidak cukup dengan gerakan itu, beliau berani mengadakan perhimpunan rakyat dengan berpidato di hadapan orang ramai seterusnya memimpin demonstrasi menentang penjajah sehingga dipenjarakan pada 1931.

Walaupun sibuk berjihad dan membawa perjuangan tersebut, Mustafa berjaya menyiapkan tesis ijazah kedoktoran pada 1949 bertajuk ‘As-Sunnah dan Kedudukannya dalam Perundangan Islam’ di Universiti al-Azhar, Mesir.

Antara intipati kajian kes itu adalah bagi membela Islam menerusi sunah dan menolak hujah orientalis yang mengelirukan. Lajnah Ulama Besar Universiti al-Azhar bersepakat memberikan pangkat imtiyaz.

Beliau pulang ke Syria pada 1950 dan berkhidmat sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Damsyik. Berkat kegigihan usahanya, pada 1955 beliau berjaya menubuhkan Fakulti Syariah dan dilantik menjadi dekan pertama.

Antara usaha pertamanya ialah mewujudkan Ensiklopedia Fiqh Islam yang menjadi rujukan utama kepada ulama masa kini.

Bukan itu sahaja, sumbangan baktinya turut ditaburkan dengan berkecimpung dalam bidang politik. Beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Damsyik (1949-1954) yang banyak bersuara menyampaikan hasrat rakyat dengan mengemukakan cadangan membina.

Dalam bidang kewartawanan pula, beliau berjaya melancarkan akbar al-Syihab pada 1955, setelah diberi sedikit kebebasan bersuara di Syria.

Pada 1985 majalah Al-Muslimun dikeluarkan dan diterbitkan di Mesir, bagaimanapun diharamkan tidak lama selepas itu. Beliau mengambil alih untuk dicetak dan diedarkan di Syria. Pada 1985 majalah Al-Muslimun ditukar namanya kepada Hadhorah Islam.