Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bersetuju menolak ICERD kerana bercanggah Perlembagaan Persekutuan. Malah, pelbagai parti politik sama ada kerajaan dan pembangkang turut sepakat menzahirkan penolakan tersebut.

Hairannya, kenapa masih ada menteri yang berdolak-dalik mencari helah masih mahu mempertahankan ratifikasi ICERD?

Kenapa media khususnya portal dan berbahasa Inggeris masih tidak mahu akur dengan keputusan kerajaan tersebut? Kenapa pertubuhan bukan kerajaan liberal masih berfalasi menyatakan Perlembagaan Persekutuan tidak akan tergugat dengan penandatangan ICERD?

Hujahan yang mengatakan dengan menandatangani ICERD sahaja tidak akan menghakis Perlembagaan Persekutuan adalah dalih yang sangat dangkal. Memang betul dengan hanya tandatangan ICERD Perlembagaan Persekutuan masih akan kekal.

Tetapi apabila kita tandatangani dan meratifikasi, maka secara tidak langsung akan terikat dengan apa yang ditandatangani. Reservasi (menyatakan keraguan terhadap sesuatu usul) memang boleh dibuat tetapi reservasi itu boleh ditolak oleh Jawatankuasa Pakar ICERD dan dua pertiga anggota ICERD.

Sebagai contoh, di India yang membuat reservasi berkaitan sistem kasta yang diamalkan di negara tersebut telah ditolak reservasi itu.

Ugutan terhadap Perlembagaan Persekutuan bukan berlaku secara automatik tetapi kesannya akan dirasai oleh negara sama ada kini atau pada masa akan datang.

Akhirnya Malaysia boleh diadu ke International Court of Justice di The Hague, Belanda kerana kegagalan mematuhi ICERD jika negara mengambil pendirian meratifikasi.

Tindakan lain juga boleh diambil terhadap Malaysia, tekanan boleh diberikan kepada Malaysia jika gagal melaksanakan ICERD setelah ratifikasi? Apakah Malaysia mampu menghadapi tindakan dan tekanan ini? Sudah pasti jawapannya tidak kerana Malaysia masih bergantung kepada kuasa luar.

AFIRMATIF ORANG MELAYU

Seperkara lagi, ada yang mengatakan ratifikasi tidak akan menjejaskan tindakan afirmatif kepada orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak kerana kebenaran dalam Artikel 1(4) ICERD.

Ini tidak benar kerana ICERD mensyaratkan tindakan afimatif tersebut mestilah tidak mengadakan hak berasingan kepada dua kumpulan berbeza dan akan dimansuhkan bila tujuan keistimewaan dicapai.

Perlembagaan Persekutuan memang memberikan hak berbeza antara orang Islam dan bukan Islam, begitu juga antara orang Melayu/bumiputera serta bukan bumiputera.

Sebagai contoh undang-undang keluarga Islam yang berlainan bagi orang Islam dan bukan Islam, larangan pemilikan tanah tertentu kepada golongan tertentu seperti bukan anak Sabah tidak boleh memiliki tanah tertentu di Sabah.

Hal ini juga berlaku di beberapa negeri lain seperti Kelantan dan Sarawak. Malah tanah adat di Negeri Sembilan hanya boleh dimiliki oleh wanita tempatan.

Kesemua hak tersebut tidak dinyatakan tempohnya. Ia dilaksanakan selagi tiada pindaan kepada undang-undang. Oleh itu syarat dalam Artikel 1(4) ICERD tersebut tidak boleh dinikmati oleh Malaysia. Kesemuanya perlu dipinda jika ICERD diratifikasi.

Justeru, saya mencabar golongan yang masih mendakwa ICERD membenarkan tindakan afirmatif seperti di atas agar dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa ICERD seramai 18 orang itu bahawa Malaysia masih boleh melaksanakan tindakan afirmatif meskipun meratifikasi ICERD. Baru tuntas kedudukannya jika ada jaminan tersebut.

Beranikah golongan pro-ICERD ini mendapatkan jaminan tersebut?

Katakan tidak kepada ICERD! ICERD memusnahkan jati diri negara. ICERD menodai kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sudah diterima rakyat sekian lama. ICERD meminggirkan norma lazim negara yang sudah sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tanpa ICERD tiada diskriminasi kaum di Malaysia. Tanpa ICERD orang bukan Melayu diberi hak membina kekayaan dan mengumpul harta. Tanpa ICERD rakyat berbilang agama bebas menganut dan mengamalkan agama mereka. Tanpa ICERD orang bukan Melayu bersama-sama orang Melayu boleh berkongsi kuasa memerintah Malaysia.

Penolakan ICERD walaupun telah diumumkan kerajaan, namun masih belum lagi tuntas pendiriannya. Oleh itu suatu himpunan aman dijadualkan pada Sabtu ini bagi menzahirkan rasa kesyukuran penolakan ICERD oleh kerajaan dan mendesak agar pihak kerajaan terus berpegang kepada keputusan tersebut.

Perjuangan ini sangat penting bagi masa depan negara dan meneruskan kesinambungan penolakan kerajaan selama ini.

Ayuh semua bersama-sama dalam Himpunan Aman 812. Himpunan ini dibuat berdasarkan kepada Akta Himpunan Aman 2012. Kita lakukan himpunan aman yang bebas daripada sebarang bentuk kekerasan dan kacau bilau.

Kita tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tuntas menolak ICERD. Penolakan ICERD bukan menongkah arus, tetapi keputusan rakyat Malaysia arus perdana.