JAWAPAN: Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam negara. Dalam Rukun Negara dinyatakan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Namun ia bukan bermaksud bahawa halal untuk Muslim membuka aurat hanya kerana tidak disebut dalam undang-undang negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya, solat fardu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka adakah harus bagi Muslim untuk tidak solat fardu? Keharaman babi tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan maka adakah harus bagi Muslim untuk makan daging babi?

Kita sebagai Muslim tidak makan daging babi kerana ia dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, walaupun tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka begitulah tuntutan menutup aurat bukan kerana Perlembagaan Persekutuan tetapi kerana perintah Tuhan.

Bagaimana keadaan aurat suami isteri ketika dalam idah perceraian?

JAWAPAN: Apabila seorang suami melafazkan cerai, pasangan suami isteri ini masih diikat dengan hukum sebagai suami isteri pada sebahagian besar perkara.

Contohnya isu aurat. Walaupun sudah bercerai, namun pasangan ini masih mempunyai ikatan pernikahan selama tempoh idah.

Oleh itu, pasangan ini masih menetap dalam satu rumah.

Manakala si isteri dalam idah tidak diwajibkan untuk menutup aurat sepenuhnya.

Harus bagi si isteri untuk tidak memakai tudung kepala.

Bahkan bahagian badan antara pusat dan lutut sahaja tidak harus ditunjukkan kepada suaminya yang telah melafazkan talak.

Adapun bahagian badan lain seperti betis, lengan, leher dan kepala adalah harus dizahirkan kepada suaminya. 
Ini semua dalam tempoh idah.

ROKOK

Adakah merokok membatalkan puasa sedangkan menghisap rokok tidak mengenyangkan seperti makanan?

JAWAPAN: Pendapat yang diterima pakai ialah merokok membatalkan puasa. Ya merokok tidak sama seperti makan. Walau bagaimanapun, antara hikmah berpuasa ialah menahan diri daripada keinginan nafsu.

Merokok adalah dorongan keinginan. Pada masa yang sama, merokok juga tidak baik untuk kesihatan, maka merokok membatalkan puasa.

Ini mungkin sedikit berbeza dengan ubat yang dimasukkan ke dalam rongga badan.

Ia kerana hajat dan keperluan perubatan, maka mungkin ada kelonggaran penggunaan ubat tertentu yang tidak membatalkan puasa.

Bagaimana untuk membersihkan faedah (interest) dalam akaun bank konvensional?

JAWAPAN: Sewajibnya sebagai Muslim menggunakan akaun bank yang patuh syariah.

Walau bagaimanapun, wang simpanan dalam akaun bank konvensional adalah wang yang halal. Ini kerana ia adalah wang kita, cuma disimpan di tempat yang tidak patuh Syariah.

Oleh itu, dividen dan interest yang diberikan hendaklah disalur kepada individu dan pihak lain bagi menyucikan harta.

Syaratnya ia tidak digunakan untuk perbelanjaan dan keperluan diri sendiri, tetapi disalurkan kepada NGO dan badan kebajikan.