KAMAL, Bangi.

UKE: Bagus betul sahabat anda itu yang rajin berpuasa. Saya pun tidak sanggup hendak berpuasa setiap hari begitu. Allahuakbar. Puasa sunat boleh dikerjakan pada waktu apapun melainkan hari-hari yang diharamkan berpuasa.

Sahabat anda mungkin mempunyai tubuh yang kuat dan sihat maka bolehlah dia berpuasa setiap hari tetapi jika orang macam saya ini yang badannya tidak sihat dan tidak kuat maka berpuasalah sunat mengikut kemampuan.

Anda boleh melihat bagaimana Salman Al-Farisi yang menasihatkan Abu Darda dengan berkata:“Tuhanmu memiliki hak, keluargamu juga memiliki hak dan tubuhmu sendiri juga ada haknya. Berikanlah masing-masing hak itu.“

Ertinya, meskipun manusia diminta beribadah kepada Allah SWT, bukan bermakna seluruh hidup dihabiskan dengan ibadah sehingga lupa makan, minum dan istirahat.

Rasulullah SAW bersabda:“Seafdal-afdal puasa ialah puasa seperti puasanya Nabi Daud. Adalah Nabi Daud itu berpuasa sehari dan berbuka sehari.”-Riwayat Bukhari.

Namun tidaklah haram berpuasa setiap hari apatah lagi jika puasa sebegitu tidak memberi mudarat kepada pelakunya sebaliknya lebih mendatangkan kebaikan seperti pahala dan lain-lain ganjaran kesihatan.

Nama pun berpuasa maknanya mestilah baik, mestilah ada ganjarannya. Tidak boleh kita kata haram pula. Itulah yang saya sebutkan tadi berpuasalah mengikut kemampuan diri dan tahap kesihatan diri. Jangan diperlecehkan amalan orang lain selagi tiada dalil mengatakan haram melakukannya sedangkan kita sendiri tidak mampu melakukannya.