Berbeza bagi mereka yang perlu mengkaji dan mencari agama hakiki, namun malang akhirnya tidak ditemui. Justeru sebagai umat Islam perlu mengucapkan jutaan kesyukuran kepada Allah kerana memilih dalam kalangan mereka yang bertuah memperoleh nikmat iman dan Islam.

Namun, syukur tidak memadai dengan hanya ungkapan pada bibir, sebaliknya hendaklah dibuktikan menerusi amal dan ibadah kepada Allah.

Sebagai manusia, Allah menciptakan untuk beribadah kepada-Nya, sekali gus menguji sejauh mana ketaatan seseorang hamba dalam menjalani kehidupan di dunia di samping menentukan nasib di akhirat.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Mulk: 2)

Allah Maha Berkuasa menghidupkan manusia ke muka bumi dan Dialah juga yang akan mematikan. Sesudah dimatikan, maka akan tiba satu saat manusia akan dihidupkan semula pada hari kebangkitan untuk dihisab segala amal perbuatan.

Seharusnya, sebagai umat Islam menyedari bahawa hakikat kehidupan dunia ini adalah tempat persinggahan sementara. Kesempatan nikmat hidup yang dikurniakan oleh Allah ini sewajarnya dilengkapi dengan akidah yang suci, menjunjung segala perintah Allah serta melaksanakan amal soleh, membuat kebajikan dan apa jua bentuk ketaatan dengan sebaiknya.

Pada masa sama, berusaha menghindari daripada melakukan perkara keji, dosa dan maksiat.

RAHMAT SELURUH ALAM

Dalam konteks lebih luas, praktis Islam dan iman ini perlu kepada urus tadbir yang cekap serta berkesan kerana manusia lazimnya tidak semua baik dan bersifat dengan sifat kemanusiaan.

Maka, Islam datang membina peradaban dengan panduan al-Quran dan sunah yang membawa kesejahteraan dan rahmat ke seluruh alam khususnya umat manusia tanpa membezakan Islam atau kufur, beriman atau sebaliknya.

Kerana itulah Islam menetapkan peraturan iaitu prinsip al-Amr bil maaruf iaitu menyuruh melakukan perkara makruf atau kebaikan. Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan disusuli dengan prinsip an-Nahi anil mungkar iaitu mencegah kemungkaran, perkara keji, dosa dan maksiat.

Kedua-dua prinsip ini perlu berjalan seiring tanpa dipisahkan ke arah mewujudkan khaira ummah iaitu umat terbaik, sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...” (al-Imran: 10)

Selain prinsip asas seperti dijelaskan menerusi ayat tadi, ulama dan sarjana Islam sejak zaman sahabat sehingga para ilmuwan Islam telah menggariskan landasan syariat dalam bentuk lebih teratur dan sistematik.

Ia mencakupi bidang-bidang seperti perundangan, politik, ekonomi, muamalat, pendidikan dan perubatan yang menjadi tunjang kegemilangan ketamadunan Islam sehingga menjadi sumber inspirasi pembangunan, pemodenan serta kemajuan sehingga ke hari ini.

Sesungguhnya orang beriman mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas dalam hidup. Ini kerana, penghayatan Rukun Islam dan Rukun Iman dengan sebenar-benarnya akan menterjemahkan manifestasi penyerahan diri seorang hamba terhadap pencipta-Nya iaitu Allah dalam apa jua urusan di dunia.

Dengan itu, lahirlah sifat ihsan di dalam jiwa yang mengabdikan diri penuh keikhlasan, ketelusan dan ketakwaan demi mencari keredaan Allah.

Dengan nikmat Islam dan iman yang begitu berharga ini juga akan mendidik serta mengajar manusia erti syukur, sabar, reda, jujur, amanah, tawaduk (rendah diri), adil, bersih, tekun dan sebagainya. Dengan nilai-nilai diajarkan Islam inilah akan mengisi kehidupan hamba dengan lebih bermakna melalui hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia.

Justeru, jiwa yang terisi iman akan meyakini bahawa segala perbuatan sama ada baik atau buruk dicatat oleh malaikat Raqib dan ‘Atid, adanya soal Munkar dan Nakir dalam kubur, setelah itu adanya hari kebangkitan, perhitungan setiap amalan.

Ini semua akan mendorong kita menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab, tabah, integriti dan berserah diri kepada Yang Maha Esa.

Begitulah istimewanya nikmat Islam dan iman yang memandu umat Islam untuk menjalani realiti kehidupan.

Di samping itu, iman juga mendorong supaya memandang dan memikirkan nasib ke hadapan dalam mencipta kejayaan dan kebahagiaan, seterusnya apakah kesudahan kehidupan di negara akhirat yang kekal abadi.