Sehubungan itu, umat Islam seluruh dunia khususnya Malaysia diingatkan bahawa hari itu adalah haram disambut. Islam adalah sistem peraturan hidup yang sudah lengkap untuk memastikan umatnya berjaya di dunia dan akhirat.

Antara aspek tersebut ialah aspek berkaitan kasih, sayang dan cinta. Cinta dalam bahasa Arab disebut ‘hubbun’. Ia adalah daripada gabungan tiga huruf iaitu (ha ba ba). Gabungan ini disebut sebanyak 95 kali dalam al-Quran. Antaranya ialah dalam Surah Ali Imran ayat 31 dan perkataan keempat.

Dalam ayat ini Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu semua mencintai Allah, maka hendaklah kamu semua mengikut aku. Nescaya Allah pasti mencintai kamu semua.”

Ayat ini biasanya dijadikan rujukan utama apabila membuat kajian berkaitan cinta. Ini kerana cinta yang paling agung ialah cinta kepada Allah yang telah menjadikan kita semua.

Daripada perkataan hubbi yang bermakna kecintaanku, kesukaanku atau kegemaranku inilah terus berkembang dan dipinjamkan kepada bahasa-bahasa lain. Antaranya ialah bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan ‘hobby’.

Begitu juga bahasa Melayu yang turut meminjam dengan menggunakan ejaan ‘hobi’. Antara nama popular masyarakat Melayu yang berkaitan ialah Habib, Habibi, Habibah, Mahbub dan Mahbubah.