Majlis yang merupakan perhimpunan terbesar pernah diadakan oleh lepasan pelajar itu berjaya menghimpunkan seramai 194 peserta termasuk kanak-kanak dari dalam dan luar negara.

Secara ringkasnya, Maghribi termasuk dalam 23 buah negara Arab. Ia terletak di utara benua Afrika. Maghribi mendapat nama kerana terletak di hujung benua iaitu tempat terbenamnya matahari.

Negara ini beriklim Mediteranean yang mengalami peralihan empat musim iaitu musim sejuk, bunga, panas dan luruh. Bilangan rakyat Maghribi adalah seramai 36 juta orang yang kebanyakannya berbangsa Arab dan Barbar. Bahasa rasmi adalah bahasa Arab manakala bahasa kedua adalah Perancis.

Pada awal 80-an, bilangan pelajar persendirian yang belajar di Maghribi boleh dibilang dengan jari. Pada 1986, Kementerian Pendidikan mula menghantar 20 pelajar manakala Majlis Agama Islam Sabah menghantar dua pelajar.

Ekoran kejayaan pelajar kumpulan pertama itu, maka penghantaran pelajar diteruskan setiap tahun. Sejak 1986 hingga 2019 sudah ada 33 kumpulan pelajar berdasarkan tahun. Kebanyakan mereka mengikuti bidang Bahasa Arab dan Akademi Pengajian Islam. Pada 2019, bilangan pelajar Malaysia berjumlah 145 orang sahaja.

Dari segi akademik, didapati kumpulan kedua iaitu kumpulan 1987 adalah yang paling cemerlang pencapaiannya. Ini kerana lebih 50 peratus daripada mereka memperoleh ijazah kedoktoran dalam pelbagai bidang, 25 peratus bergelar profesor dan seorang daripada kumpulan ini telah dilantik sebagai rektor sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Kini, Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (Pemaham) bergerak aktif bersedia membantu warga Malaysia untuk menguasai bahasa Arab. Mereka yang berminat boleh menghubungi penulis di talian 019-2788055 untuk maklumat lanjut.