Adakah sah puasa saya jika saya mandi selepas azan subuh?

* MAN, Taiping.

UKE: Hubungan itu berlaku pada sebelah malam maka tiada apa-apa masalah. Yang dilarang ialah menggauli isteri pada siang hari. Walaupun hanya terjaga selepas masuk waktu subuh, anda mandilah, solatlah dan berpuasa seperti biasa. Puasa anda sah.

Had waktu sahur

Di manakah had masa untuk bersahur tamat. Adakah masuk waktu imsak atau sebaik sahaja azan subuh berkumandang? Mohon penjelasan ustaz.

*AZIZI, Kangar.

UKE: Allah berfirman:”...dan makanlah serta minumlah hingga jelas kepada kamu (perbezaan) benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).“- Al-Baqarah ayat 187
Tuntutan sahur juga boleh dilihat dalam satu hadis Rasulullah SAW: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin   Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”. -Riwayat Al-Bukhari dan at-Tirmizi.

Waktu imsak pula ialah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh. Tujuan ditetapkan imsak adalah untuk berjaga-jaga agar tidak melampaui waktu subuh yang boleh menyebabkan batal puasa. 

Waktu mula berpuasa apabila masuknya subuh. Oleh itu jika masih belum  waktu subuh harus lagi makan dan minum. Kadang-kadang kita terleka (makan dan minum) atau mungkin ada faktor lain yang menyebabkan terlupa masuknya waktu subuh. Maka para ulama menetapkan waktu imsak bagi memperingatkan umat Islam supaya sentiasa berhati-hati pada waktu itu. Malah ada yang berhenti makan untuk mengambil langkah selamat.