Malah, hasrat majlis tersebut untuk membuat fatwa tertentu juga seringkali dicemuh dan apabila fatwa telah dikeluarkan juga dicabar.

Sebagai contoh, beberapa tahun lalu apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan berhubung pengumuman mengenai hukum senaman yoga, pelbagai kalangan mencemuh keputusan sedemikian.

Pelbagai pihak termasuk institusi, individu sama ada Muslim atau tidak mempertikaikan keputusan ini. Tindakan itu sebenarnya adalah kesinambungan usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Majlis Fatwa dan institusi Islam lain walaupun setelah Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu dan Kahar Ahmad melawan Kerajaan Selangor.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara telah menjelaskan kedudukan fatwa di Malaysia dan tidak perlu dipertikaikan selepas itu.

IRSYAD AL-FATWA, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merupakan antara
IRSYAD AL-FATWA,  Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merupakan antara rujukan berkaitan fatwa kontemporari.

Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan yang sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu Islam apatah lagi badan tersebut ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf oleh undang-undang.

Institusi Fatwa bukanlah ditubuhkan setelah merdeka, tetapi telah lama wujud iaitu sebelum zaman penjajahan lagi dan selama ini fatwa telah berjaya memberi panduan kepada orang Islam dalam mengamalkan agama.

Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara dalaman agama Islam apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan.

JANGAN MENDAHULUI ULAMA

Begitu juga halnya dengan orang Islam. Dalami ilmu agama sebelum membuat sesuatu kenyataan dan janganlah mendahului ulama dalam urusan agama.

Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa yang sah dibuat mengikut lunas-lunas agama dan undang-undang negara.

Apatah lagi bagi orang Islam yang mempunyai ruang mengikut undang-undang meminta Jawatankuasa Fatwa meminda, mengubah atau membatalkan sesuatu fatwa.

Sebagai contoh dalam isu yoga, mungkin sebagai pengikut yoga mereka mengatakan ia hanyalah suatu senaman dan tidak lebih daripada itu.

Tetapi tahukah kita apakah makna mentera-mentera yang dibacakan itu? Adakah suatu jaminan mentera tersebut tidak menyekutukan Allah?

Ada pula yang mengatakan mereka tidak membaca mentera tetapi hanya melakukan senaman. Dalam keadaan ini pun kita perlu sedar adakah perbuatan kita itu adalah suatu manifestasi kepada penafian ketauhidan kepada Allah? Inilah yang dikaji oleh Jawatankuasa Fatwa dan biarkanlah fatwa itu dibuat mengikut keilmuan ulama.

Apakah perkara lain lebih mustahak berbanding hal yang menyentuh akidah orang Islam. Sekiranya senaman yoga itu adalah haram di sisi Islam kerana menyekutukan Allah, maka betapa baikpun amalan seseorang itu sudah pasti tidak akan diterima Allah. Ini memberi implikasi amat besar kepada umat Islam.

KAJIAN TERPERINCI

Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa akan membuat kajian terperinci terlebih dahulu. Suatu kertas cadangan dibuat dan dikaji oleh tokoh-tokoh agama dan golongan profesional sering dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.

Dalam masa sama, persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah menggambarkan Majlis Fatwa membuat ketetapan mengenai hal remeh sahaja. Buatlah kajian terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kenyataan.

Hakikatnya, Majlis Fatwa telah membuat pelbagai ketetapan yang merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan pentadbiran. Ini jelas menunjukkan Majlis Fatwa telah menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam.

Malah, dalam banyak keadaan, pelbagai pakar dalam bidang masing-masing turut dipanggil untuk membantu Majlis Fatwa memberikan fatwa yang tepat.

Selama ini, Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di Malaysia. Tidak dinafikan terdapat perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang telah diputuskan, tetapi ia bukanlah menunjukkan kejelekan anggota Majlis Fatwa berkenaan.

Ia lebih kepada manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa tanpa menggadaikan perkara-perkara asas yang telah disepakati.

Walaupun Majlis Fatwa telah berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam, namun ada juga golongan yang masih tidak sedar kejayaan ini dan mentertawakan sesuatu fatwa.

Mereka mengambil contoh fatwa pengharaman rokok yang dikeluarkan beberapa tahun lalu, tetapi ramai umat Islam yang merokok.

Dalam hal demikian adakah Majlis Fatwa patut berhenti membuat fatwa? Kita ambil perbandingan jika seorang doktor membedah seorang pesakit dan pesakit itu mati, adakah doktor perlu berhenti membedah pesakit?

Begitu juga kisahnya apabila ahli Parlimen membuat undang-undang dan ia gagal dipatuhi oleh rakyat. Adakah ahli Parlimen perlu berhenti membuat undang-undang? Tentulah jawapannya tidak, begitu juga dengan fatwa. Mufti tidak perlu berhenti mengeluarkan fatwa.

Sebenarnya fatwa sahaja tidak menjamin kesejahteraan umat. Seluruh jentera pentadbiran kerajaan perlu memadu usaha memastikan sesuatu fatwa itu patuhi sama ada melalui pendidikan, pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Jagalah sensitiviti umat Islam, hormatilah orang Islam sebagai sendi kepada kekuatan negara. Memperlekehkan institusi agama Islam ini yang diketuai oleh raja-raja Melayu akan memberi impak kepada raja-raja Melayu.

Institusi fatwa adalah sebuah institusi yang bebas daripada pengaruh politik dan bertanggungjawab terus kepada raja-raja Melayu.