Walaupun amalan itu sepatutnya tidak dihadkan masa bulan Ramadan, tetapi bagi pendakwah terkemuka, Datuk Dr. Zahazan Mohamed, situasi tersebut secara tidak langsung menyerlahkan lagi keistimewaan al-Quran.

“Membaca al-Quran sebenarnya satu amalan yang dapat merapatkan lagi hubungan sesama manusia sama ada disedari atau tidak. Contohnya, seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu

ZAHAZAN MOHAMED
ZAHAZAN MOHAMED 

Abdullah bin Rawahah sering mengajak para sahabat lain untuk mentadabbur al- Quran.

“Tujuannya, tidak hanya supaya bertambah iman kepada Allah SWT tetapi merapatkan ikatan ukhuwah sesama sendiri,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, adalah satu usaha yang terpuji jika suami memanjangkan amalan tersebut kepada ahli keluarga, termasuk ibu bapa dan adik beradik masing-masing.

“Alangkah indahnya, jika ia dilakukan secara berkeluarga. Dapat diterangkan kepada anak-anak dan isteri kita kerana mereka juga berhak menikmati ganjaran pahala tersebut,” katanya.

Walaupun beliau tidak menafikan bahawa para ulama Islam telah meletakkan kriteria tertentu untuk memahami dan mentafsir al-Quran tetapi kini, usaha itu telah dipermudahkan melalui jaringan media sosial.

Tambahnya, segalanya kini boleh didapati hanya di hujung jari untuk kita baca, kaji, rumus dan kaitkan dengan kehidupan seharian ketika bersama ahli keluarga.

“Sudah banyak organisasi atau individu bertauliah dalam bidang agama memuat naik ilmu berkaitan akidah, tauhid, fikah, sejarah Islam dan banyak lagi ceramah umum di laman web, termasuk melalui Facebook, YouTube dan Instagram.

“Semua itu dilakukan bukan hanya dengan gaya penulisan yang mudah difahami dan diingati, tetapi untuk dikongsi sama ada bersama isteri, anak-anak, ibu bapa, kawan-kawan dan kenalan lain,” katanya.

Amalan ini sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak berhimpun satu golongan dalam rumah Allah untuk membaca ayat-ayat al-Quran, mengkajinya bersama-sama, melainkan Allah akan berikan mereka empat kelebihan iaitu rahmat, sakinah (ketenangan), doa para malaikat dan Allah menyebut-nyebut namanya di hadapan makhluk-Nya yang mulia di langit.” - Riwayat Muslim