Nampak sahaja seorang yang tidak menutup aurat, lidah terus memaculkan hukuman dasar jahil. Nampak saja orang yang tidak cukup Islamnya, hati mudah melantik diri sebagai tuhan menghukum ‘ini dasar ahli neraka’. Itulah sifat gopoh kebanyakan manusia termasuk penulis sendiri.

Sikap sebegini sedikit sebanyak akan mencemar rahmat Islam yang lebih bersifat mendidik dan bukannya membidik. Pastinya semua bermasalah adalah manusia yang mahukan kebaikan tetapi tidak berpeluang kerana kekangan mereka miliki.

Dalam nota Refleksi al-Quran kali ini, penulis ingin berkongsi kisah yang boleh menegur kita semua agar tidak mudah bertindak tanpa wujudnya sangka baik pada orang tidak kita ketahui kekangan dan halangan mereka.

IBRAH KISAH BANI SULAYM

Suatu hari, seorang lelaki daripada Bani Sulaym yang membawa kambing biri-birinya melintas di hadapan sekumpulan sahabat Rasulullah. Lelaki tersebut menyapa mereka dengan ucapan salam.

Sebahagian sahabat lalu berkata: “Salamnya itu hanya helah untuk mengelakkan ancaman daripada kita.” Lantas mereka membunuh lelaki tersebut dan merampas ternakannya. Berikutan tindakan itu, Allah menegur mereka dengan penurunan ayat 93 surah al-Nisa’ (Sunan al-Tirmidhi, Mustadrak al-Hakim, Musnad Ahmad)

Ertinya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatnya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” (al-Nisa’ 4:94).

Malang memang tidak berbau. Hanya kerana sangkaan, nyawa seorang Muslim tercabut di tangan para sahabat. Pun begitu, para sahabat yang mulia tidak boleh disalahkan secara tuntas kerana zaman mereka adalah zaman genting dan darurat.

Api perang selalu marak menyala. Lambat bertindak pasti ada sahaja bara panas dilontar ke tubuh, pasti ada sahaja panah berapi menyerang hendap meragut nyawa. Tidak cekap mengelak pasti terus disambar, pasti melecur terkena bahangnya.

Musuh tradisi yang berpanji Musyrikin Quraisy sentiasa mengintai dari pelbagai sudut. Pantang lepa, pasti tusukan pedang atau lontaran panah mereka segera mengambil tempat. Zaman ini juga orang munafik muncul dalam diam dan tersusun menjadi perisik dalaman Yahudi dan musuh di Mekah.

Terdapat dua pengajaran daripada kisah ini:

1. Umat Islam tidak harus gelojoh dalam bertindak

Sebarang keputusan mesti diteliti secara mendalam kerana dikhuatiri ada yang menjadi mangsa kekeliruan. Akibatnya sesalan selepas salah bertindak tidak dapat diperbaiki lagi.

Dalam ayat lain Allah menegaskan perlunya ketelitian yang mendalam sebelum menerima sebarang berita sebagaimana firman-Nya bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat[49:6]).

Dalam era digital dan ledakan media sosial, kebenaran ayat ini semakin terserlah kerana banyak sekali mangsa umpat keji media sosial terkorban saban hari.

Sepatutnya pengguna media sosial Muslim yang beriman dengan al-Quran perlu mempraktikkan sikap teliti dititipkan Allah dalam ayat di atas. Tambah parah, sesetengah komen busuk dibuat hanya selepas dibaca tajuk dan bukan isinya. Inilah bahaya minda ‘mi segera’ yang dilahirkan media sosial.

Adakah ini tanda hati sesetengah kita ada genetik lalat yang tahu mengesan busuk sahaja? Boleh jadi yang nampak seperti busuk itu sebenarnya wangi, tapi kelihatan busuk kerana sihir digital pencetus fitnah media sosial.

2. Umat Islam perlu memahami masalah orang lain

Lidah dan hati jangan mudah menyangka buruk kerana setiap orang ada masalah tersendiri. Jika kita berada dalam situasi mereka, belum tentu kita mampu tempuhi dengan tenang dan menang. Dalam kes pembunuhan di atas, teguran Allah melalui ayat al-Nisa’ 4:94 sangat jelas.

Boleh jadi lelaki itu (mangsa bunuh) sudah sekian lama merahsiakan Islamnya kerana takut ancaman kaumnya yang sangat memusuhi Islam. Setelah dia bertemu saudara seakidah seperti kamu, kegembiraannya tidak dapat dibendung lagi lantas segera disapa dengan salam penuh takzim.

Malangnya tindakannya itu dipandang serong oleh kalian dan kalian tersilap membunuhnya. Keadaannya yang tersepit dalam kaumnya yang masih kafir, sama halnya dengan keadaan kamu dahulu tersepit di celah kekejaman Musyrikin Quraysh. Oleh itu, cubalah berada dalam ‘kasutnya’ sebelum bertindak.

Semoga ketelitian kita sebelum bertindak menjadi prosedur operasi standard (Sop) Islamik yang diamalkan secara berterusan sehingga akhir hayat. Tambahan lagi pada zaman moden serba mencabar ketika fitnah dan berita palsu mudah tersebar hanya dengan sentuhan jari.