Penekanan itu penting sebagai antara langkah persediaan bagi komuniti tersebut sebelum pulang ke tanah air masing-masing. Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan wujudnya sindrom malas bekerja dalam kalangan mereka.

Jadi, tidak hairanlah apabila Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengadakan program khusus latihan bagi membangunkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan wanita Rohingya di negara ini.

Program Usahawanita Rohingya yang mendapat kerjasama SME Bank itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta menjana pendapatan melalui projek masakan dan kraftangan.

Para peserta didedahkan dengan latihan menghasilkan biskut dan kraftangan yang mudah tetapi mempunyai nilai di pasaran seperti biskut raya, pin baju, penanda buku dan rantai kekunci (keychain).

Penekanan sedemikian perlu bagi membolehkan mereka memulakan usaha menjana wang secara kecil-kecilan dan sebagai galakan kepada mereka berniaga secara berkumpulan.

Ternyata program yang diadakan di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah itu telah berjaya mengumpulkan 85 peserta terdiri daripada ibu tunggal dan asnaf Rohingya.

Selain menimba ilmu dan asas kemahiran menyediakan biskut serta kraftangan, para peserta turut didedahkan dengan konsep pemasaran agar produk dihasilakn mampu bersaing di pasaran terbuka.

Bagi program tersebut di Johor telah diadakan di Sekolah MyCare iaitu sebuah sekolah kelolaan MyCare dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Untuk peringkat awal di sekolah berkenaan seramai 10 wanita Rohingya terlibat dalam projek ini dan dilatih membuat biskut cornflakes madu oleh dua sukarelawan MyCare iaitu Munirah Abdullah dan Nurdinie Safiyyah Cheah.

Di Pulau Pinang, program melibatkan seramai 25 peserta dengan sembilan daripadanya adalah penerima bantuan sebelum ini melalui projek CBI - MyCare dan UNHCR manakala di Kedah dan Selangor pula melibatkan 50 peserta.

Dalam masa sama, para peserta juga diberi sumbangan pek makanan yang mengandungi beras, gula, kentang, bawang, mi, bihun dan telur.

Langkah tersebut juga dilakukan sebagai satu motivasi untuk mereka terus kekal dalam usaha menjana kewangan sendiri pada masa hadapan.

Turut bersama dalam setiap program adalah Pengurus Besar MyCare, Roha Hassan serta sukarelawan MyCare setempat.

* Seramai 85 wanita Rohingya diajar kemahiran memasak dan kraftangan.

* Turut didedahkan aspek pemasaran produk yang dihasilkan.

* Didedahkan cara menghasilkan biskut cornflakes madu.

* Tajaan SME Bank.

* Diadakan di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

* Peserta turut menerima pek sumbangan makanan.