Bertindak mahu memuaskan kerakusan diri secara melampau ekoran kebatasan yang telah ditetapkan oleh agama serta ijmak ulama mendorong golongan liberal menggunakan logik akal semata-mata sebagai alasan kukuh melepaskan diri daripada ketetapan Tuhan.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran berkata, liberalisme agama memperuntuk kebebasan menganut, menyakini dan mengamalkan apa sahaja yang bersesuaian dengan kehendak serta selera masing-masing.

Lebih teruk katanya, kumpulan tersebut bertindak menyempitkan ruang agama kepada ruang persendirian, selain terpisah daripada politik dan pemerintahan yang menjadi teras kepada pengukuhan sesebuah negara Islam.

Menurutnya, liberalisme dari segi politik membenarkan manusia mempunyai kebebasan individu seperti berfikir dan berucap tetapi dalam masa sama mahu membataskan kuasa kerajaan, pelaksanaan undang-undang (rule of law), sistem kerajaan yang telus serta demokratik, malah menentang pemusatan dan pemutlakan kekuasaan.

“Terdapat juga Islam liberal yang bermisikan pembebasan umat Islam daripada belenggu fahaman lama dan cengkaman dominasi tafsiran golongan ulama, menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad, sekali gus menerapkan kefahaman Islam yang terbuka dan progresif.

“Tidak kurang juga apabila golongan ini menuntut tafsiran Islam yang pelbagai (pluralis) dan subjektif, mewujudkan pemisahan politik daripada agama dan pembebasan daripada tafsiran ulama silam menerusi tema utama adalah Islam berwarna-warni, Islam tanpa syariah, al-Quran edisi kritis dan pengenalpastian akar-akar sekularisme dalam Islam,” katanya ketika berucap sempena penganjuran Seminar Liberalisme dan Media Sosial di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Turut sama menyampaikan ucapan pada seminar tersebut ialah Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali.

Mengulas mengenai hubung kait liberalisme dan media baharu, Mohd. Farid berkata, kedua-duanya dilihat ‘intim’ apabila liberalisme dan media berkongsi sifat kebebasan serta kepelbagaian tidak terbatas.

Katanya, media baharu dilihat menjadi pemudah cara penyebaran semangat kebebasan yang dibawa oleh liberalisme, selain turut memusnahkan semua bentuk pembatasan daripada mekanisme pertahanan yang sebelum ini terbina hasil daripada keterbatasan media lama.

Jelasnya, media baharu berjaya menerobos ke semua ruang umum dan persendirian, sekali gus membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur untuk terlibat.

“Semua ini memunculkan pelbagai jenis pemikiran generasi muda untuk memahami sesuatu berdasarkan kepercayaan akal dan kemahuan jiwa.

“Tidak dinafikan dengan media baharu ini, kita akan kehilangan peranan guru yang akan memastikan proses kefahaman berjalan dengan baik,” katanya.