Kisah menarik kali ini adalah seorang pemuda yang duduk di sebelah saya. Saya lihat tangannya penuh tatu, tetapi mukanya bersih. Dalam hati saya, ‘ini bola tanggung’. Ini ciri-ciri orang yang cuba mencari kebahagiaan dunia.

Apabila disapa, namanya ialah Kariyama Erik, merupakan warga Jepun yang lahir dan menetap di Perancis.

Sebenarnya manusia yang hatinya kosong akan cuba membuatkan dirinya bahagia dengan pelbagai aktiviti.

Pelbagai hobi akan dilakukan. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk penuhi masa dan hati berasa bahagia. Mereka akan berusaha untuk berasa gembira sepanjang masa.

Ini bermakna mereka sebenarnya tidak bahagia sekarang dan cuba mencari kebahagiaan serta ketenangan. Sedangkan Allah mencipta manusia mempunyai sifat bosan.

Bosan adalah penyakit hati. Walau apapun hobi yang manusia ada, sampai satu ketika manusia akan berasa bosan dan akan mula mencari perkara baru. Manusia perlu melakukan perkara baru untuk hati terus berasa gembira.

Kita sebagai Muslim tahu bahawa al-Quran adalah pengubat penyakit hati (batin), oleh itu sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan kitab suci itu akan tenang.

Berbalik kepada kisah Kariyama Erik, perkara paling mudah untuk memulakan perbualan dengan seseorang yang baru ditemui adalah memuji kelebihan yang mereka ada. Saya mulakan dengan berkata: “wow cantiknya tatu anda, ini original ke atau lukisan? Adakah anda kaki pukul?”

Dia ketawa besar dan mula menerangkan kepada saya, bangga dengan tatunya. Saya dengar semua ceritanya sambil memuji jika ada peluang.


TIPS DAKWAH KEPADA JEPUN

1. Jenaka

Buat sedikit jenaka sehingga mereka mampu ketawa. Jika mereka sudah ketawa, bermakna anda telah berjaya merapatkan diri dengannya.

Kemudian dia menunjukkan pula tatu di dadanya. Tulisan Arab ‘salam’. Alhamdulillah, umpan saya mengena. Boleh terus berdakwah dengan memulakan perbualan mengenai salam.


2. Perkenalkan diri

Saya memperkenalkan diri. Saya cerita secara terperinci kerana dengan bercerita mengenai diri kita, mereka akan percaya kepada kita.

Saya menceritakan nama, asal, tempat tinggal, pekerjaan, sejarah datang ke Jepun dan banyak lagi. Setelah tahu latar belakang, dia akan menjadi yakin dan ini dan memudahkan fasa seterusnya untuk berdakwah.


3. Bertanya tujuan dilahirkan

Saya tanya dia soalan biasa. Mengapa dia memakai telefon pintar dan mengapa memakai beg? Saya fokuskan jawapan dengan memberitahu tujuan semua benda ini wujud.

Dan saya akhiri dengan “mengapa anda wujud di dunia ini?” Dia terdiam beberapa saat tanpa boleh menjawab. Lalu dia mengaku; “Ya, mengapa saya wujud ya?”

Biasanya manusia mampu menerangkan kegunaan apa sahaja barang di sekelilingnya. Tahu mengapa tujuan benda itu wujud tetapi tidak tahu apakah tujuan dirinya wujud.


4. Ceritakan kewujudan al-Quran dan mukjizatnya

Bermulalah dakwah saya kepadanya secara langsung dan terus. Keajaiban al-Quran yang tidak mempunyai banyak versi dan satu-satunya buku yang masih mampu digunakan walaupun berusia lebih 1,400 tahun.

Saya bacakan ayatul Qursi kepadanya dan dia mendengarnya dengan penuh perhatian.


5. Perkenalkan Allah sebagai Tuhan yang berkata-kata

Tiada siapa mengaku dirinya Tuhan selain daripada Allah. Saya buktikan walau apapun agama di dunia ini, Tuhan yang manusia sembah tidak pernah mengaku mengatakan dirinya Tuhan dan meminta untuk menyembahnya.

Saya buktikan hanya Allah Tuhan yang berkata-kata dan meminta manusia menyembahnya. Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Adz-Dzariyat: 56)


6. Bercerita alam ghaib

Saya tanya kepadanya “adakah anda rasa Tuhan itu wujud?”

Jawabnya: “Ya, saya percaya Tuhan itu wujud.”

Setiap manusia percaya pada kewujudan Tuhan. Saya juga perincikan kisah ketakutan manusia untuk mati.

7. Menerangkan semua makhluk mengikut perintah Allah

Setelah menerangkan maksud Islam iaitu hidup dengan mematuhi hukum Allah dan maksud Muslim iaitu seseorang yang mengamalkan Islam, saya juga terangkan semua manusia dilahirkan Muslim termasuk dirinya.

Ini kerana, ketika lahir kita tidak diajar untuk menghisap susu. Kita makan makanan sama setiap hari, kemudian ibu bapa kitalah yang mengajar makan makanan lain. Ibu bapalah yang mengajarkan kita kepercayaan mereka kepada kita.

Saya juga perincikan bahawa semua makhluk adalah Muslim kerana patuh pada perintah Allah. Bumi berputar 24 jam sehari, bulan mengelilingi bumi selama 30 dan 31 hari tetap tanpa berubah. Segala hidupan lain semuanya hidup mengikut hukum alam iaitu hukum yang telah Allah tetapkan.

Kariyama Erik mengangguk faham dan terharu mendengarnya. “Pertama kali saya diberitahu mengenai Islam sebegini” jawabnya.

Dia berjanji untuk belajar lagi mengenai Islam dan pada akhir pertemuan dengannya, saya suruh dia berjanji untuk berniat berjumpa semula di syurga. Dia bersetuju.