Penulis terpegun seketika mendengar soalan diajukan seorang bapa semasa sesi panel bersama empat tokoh dalam program Kem Tarbiah kali ke-16 anjuran Masjid Otsuka, Jepun. Kisahnya pada 14 hingga 19 September lalu, kami dijemput Osaka Islamic Centre dan Japan Muslim Foundation untuk perkongsian dakwah di Jepun.

Ziarah ini disertai lima wakil dari Malaysia iaitu Penulis, Dr. Kamilin Jamilin dari Universiti Sains Islam Malaysia, Ahmad Rafian (jurutera), Nik Nur Hafiz (akauntan) dan Mohamed Ali (pengusaha restoran). Ketibaan kami disambut oleh pendakwah Malaysia yang sudah 10 tahun tinggal di Jepun iaitu Zulkarnain Hasan Basri. Misi dakwah kali ini mendapat sokongan ramai dermawan seperti Datuk Rosli Shariff. Dengan sumbangan mereka, program kami di Jepun berjalan dengan lancar.

Pada mulanya jadual program kami hanya di Osaka sahaja, tetapi atas jemputan pihak Masjid Otsuka kami turut bersama mereka dalam kem itu yang bertempat di kaki Gunung Fuji. Jemputan utama untuk kem tersebut adalah pendakwah dari Malaysia Ustaz Husein Yee.

Pada malam 15 September, Penulis, Kamilin dan Husein memberikan beberapa pengisian bersesuaian dengan kepakaran masing-masing.

Pagi Ahad 16 September, usai solat subuh penganjur membuat sesi dialog dengan peserta kem. Penulis, Kamilin, Husein dan Syeikh Abdul Rahman (wakil Perhimpunan Belia Islam Dunia dari Arab Saudi) menjadi panel bagi menjawab soalan peserta.

TANGANI MASALAH

Antara matlamat utama penganjuran kem tarbiah adalah untuk menangani masalah generasi kedua Muslim Jepun. Generasi pertama atau ibu bapa biasanya rakyat luar yang menetap di Jepun untuk bekerja atau belajar. Ada antara mereka berkahwin dengan rakyat Jepun.

Masalah mula timbul apabila anak-anak mereka atau generasi kedua sudah bergaul budaya dengan masyarakat Jepun. Masa mereka banyak dihabiskan bersama masyarakat Jepun yang sungguh berbeza budaya apatah lagi agama.

Husein menjawab soalan tersebut dengan bijaksana:

“Kita perlu ubah cara kita didik anak-anak. Jangan hanya dedahkan mereka dengan ritual ibadah tanpa makna, sebaliknya perlu dijelaskan nilai setiap ibadah. Mengapa kita perlu solat, zikir, baca al-Quran dan sebagainya. Apabila anak kita membesar dengan ritual ibadat yang mereka faham rahsianya, mereka tidak akan larut bersama budaya asing.”

Melihat kepada kerisauan ini, penulis sangat bersyukur dengan limpahan rahmat Allah kepada umat Islam di Malaysia. Kita tak perlu risau anak-anak berubah ‘arah kiblat’ kerana pasak kiblat umat Islam Malaysia direndam kemas dengan pelbagai mekanisme.

Insya-Allah sukar tercabut walaupun anak-anak bergaul dengan teman berlainan agama atau budaya.

Rasa syukur ini perlu dibuktikan dengan pengukuhan iman dan amal. Jangan jadi manusia tidak bersyukur dengan mengabaikan peluang memantapkan iman, menambah amal dan ilmu agama yang ‘sangat mewah’ dibuka kepada umat Islam Malaysia. Pastinya syukur itu bakal menyuburkan Islam di negara kita:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras,” (Ibrahim 14:7).


JANGAN TERLEKA

Pada masa sama, kita yang berendam dalam limpahan nikmat Islam di Malaysia tidak sepatutnya mengabaikan saudara Islam di Jepun yang saban hari bergelut keras untuk mengekalkan ‘jiwa Muslim’ anak-anak generasi mereka di sana. Banyak yang boleh dibantu seperti bantuan dana dakwah dan tajaan pengajian dan agar kesuburan Islam di sana bertambah segar.

Alhamdulillah, misi dakwah kali ini mencapai banyak keputusan baik, antaranya berjaya mencari penaja untuk menghantar seorang Muslim Jepun menyambung pengajian dalam bidang agama di universiti di Malaysia. Kami juga berjaya mencari penaja untuk menambah baik sistem air panas bangunan Osaka Islamic Centre sebelum musim sejuk melanda. Kemudahan ini sangat penting bagi wuduk dan sebagainya.

Tambah manis apabila pada malam Isnin, 17 September kami berjaya mengislamkan seorang pemuda Jepun. Air mata syukur terjurai mencucuri pipi ahli kumpulan kami ketika pemuda ini mengucapkan syahadahnya. Janji Rasulullah SAW segera menerjah minda:

“Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu peroleh) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga pada orang Arab),” - Sahih Bukhari.

Islam adalah rahmat Allah untuk semua manusia. Ia tidak sepatutnya terkurung dalam kandang etnik, bahasa atau sempadan geografi.

Marilah kita sama-sama julang Islam agar terus tegak berdiri di dunia. Bantulah saudara Islam kita di Jepun agar benih Islam tidak mati hanya kepada generasi kedua mereka.

Kerisauan generasi pertama Muslim Jepun perlu sama-sama kita hapuskan dengan bantuan berterusan kepada mereka sama ada dalam bentuk sokongan ilmu, dana, dakwah dan doa.

Semoga sedikit usaha kita itu akan menjadi saham bersama memperoleh sebanyak mungkin ‘unta merah’ di akhirat kelak. Insya-Allah!