Program kerjasama antara Pusat Islam An-Nur, UTP; Badan Kebajikan Islam Petronas (Bakip); Kuala Lumpur City Centre (KLCC); Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. (MRCSB) Melaka dan Inn Damai Al-Kahfi itu disertai seramai 124 peserta berusia antara sembilan hingga 15 tahun.

Eksekutif Pusat Islam An-Nur, UTP, Ammar Mohd. Amin berkata, kem lima hari empat malam itu memberi penekanan kepada peserta bagi membina akhlak mulia terutama kepada ibu dan bapa.

“Tujuan program ini dilaksanakan untuk memotivasikan peserta supaya rajin solat dan membaca al-Quran, menyediakan rutin harian sentiasa tersusun dan terurus, bijak mengawal ketagihan menggunakan telefon bimbit dan bersemangat ke sekolah.

“Jadual aktiviti program pula disusun secara praktikal supaya semua peserta dapat mengamalkannya sebagai rutin harian selepas tamat program. Mereka juga diberikan tugas-tugas penting dalam usaha mendidik diri menjadi seorang yang amanah dan bertanggungjawab.

“Pendedahan aktiviti luar yang menyeronokkan disusun dengan baik agar peserta dapat mengawal ketagihan menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, program dikendalikan oleh mahasiswa UTP yang terlatih bagi berkongsi pendedahan kepada peserta kaedah memuliakan ibu dan bapa masing-masing.

Dalam pada itu Ammar berkata, pihaknya memilih Sungai Congkak, Hulu Langat sebagai tapak perkhemahan tahun ini berikutan lokasinya yang dilihat strategik dan sesuai untuk menggabungkan tiga institusi kendalian Petronas selain selesa dan lengkap.

“Pemilihan lokasi ini juga dapat mendedahkan anak-anak kakitangan Petronas dengan alam semula jadi yang dikelilingi sungai.

“Selain aktiviti praktikal solat, bacaan al-Quran, qiamullail dan kuiz bacaan dalam solat, peserta juga berpeluang mandi sungai dan didedahkan dengan aktiviti-kendiri alam sekitar seperti sukaneka di kawasan lumpur,” jelasnya.

Beliau berkata, melalui modul diadakan, setiap peserta akan dibentuk dalam kumpulan dengan dibantu oleh seorang fasilitator.

“Peserta akan dilatih menunaikan solat secara praktikal bermula daripada niat solat sehingga memberi salam. Setiap rukun dan perbuatan solat akan diajar dengan teori terperinci serta praktikal.

“Amalan solat semua peserta kemudiannya dinilai pihak penganjur dan mereka menerima sijil penilaian solat serta akhlak masing-masing sepanjang program berjalan,” ujarnya.

Tidak terhenti selepas tamat program, beliau berharap ibu bapa dapat menyokong dan mendorong anak masing-masing supaya istiqamah menunaikan solat secara sempurna serta sentiasa membaca al-Quran di samping menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak sendiri dalam kehidupan seharian.