TIDAK perlu lagi diiringi keperluan lain bila bermusafir. GAMBAR
TIDAK perlu lagi diiringi keperluan lain bila bermusafir. GAMBAR HIASAN

“Majoriti ulama hanya membenarkan selepas dia keluar dari kawasan mukimnya kerana jika tidak dia belum dikira musafir,” kata Rozaimi.

Begitu juga katanya, jika seseorang bermusafir dan sampai di mukimnya pada waktu siang, maka dia tidak perlu melakukan imsak (menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa) dan ini pendapat mazhab Syafie, Malik dan Ibn Mas’ud r.a.

Manakala tambahnya, Ibn Sirin ada menyatakan bahawa: Abdullah bin Umar berkata: Sesiapa yang makan pada awal siangnya, hendaklah dia makan pada akhirnya. (Musannaf Ibn Abi Syaibah, Bab Fi al-Musafir Yaqdamu Awwalan Nahar Min Ramadhan, no: 9,435)

Wanita bermusafir

Sementara itu Rozaimi memberitahu, ulama berbeza pendapat tentang hukum wanita bermusafir tanpa ditemani mahram.

Beliau berkata, walaupun majoriti ulama tidak membenarkannya berdasarkan hadis Rasulullah, tetapi ada yang membenarkan dengan syarat ditemani wanita dipercayai atau perjalanan tersebut aman dan damai.

“Mungkin pada masa lalu laluan perjalanan tidak hanya dipenuhi oleh kumpulan penjenayah, malah kawasan penempatan manusia sukar ditemui di samping pengangkutan pula hanyalah kuda atau unta,” katanya.

Antara hadis yang membicarakan tentang hukum wanita bermusafir adalah, sabda Rasulullah maksudnya: “Tidaklah boleh seorang wanita bermusafir kecuali bersama mahramnya. Tidaklah boleh seorang lelaki masuk menemui wanita kecuali bersama mahram wanita itu. Seorang sahabat berkata kepada baginda: Ya Rasulullah, aku mahu keluar menyertai pasukan tentera, akan tetapi isteri aku mahu menunaikan ibadah haji. Baginda menjawab: Keluarlah bersama isteri engkau.” - Riwayat Bukhari

Manakala daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak halal seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk bermusafir dengan perjalanan satu hari kecuali bersamanya mahram.” - Riwayat Bukhari

Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf menyatakan:

“Daripada ‘Adiy bin Hatim, ketika aku bersama Nabi, datang seorang lelaki mengadu tentang kemiskinannya, kemudian datang lelaki lain mengadu tentang perompak di jalanan.

Baginda bersabda: “Wahai ‘Adiy, pernahkah kau pergi ke Al-Hiirah?” Aku berkata: Tidak pernah tetapi aku pernah diberitahu tentang tempat tersebut.

Baginda bersabda: “Jika panjang umurmu, engkau pasti akan melihat seorang wanita bermusafir dari Al-Hiirah, sehingga dia mengelilingi Kaabah. Dia tidak takut apa-apa pun kecuali Allah.” - Riwayat Bukhari