Sebab itulah kata beliau lagi;“Dunia ini ibarat bayang-bayang. Jika dikejar engkau tidak akan dapat menangkapnya. Palingkan badanmu daripadanya dan ia tidak punya pilihan lain kecuali mengikutimu.” Demikianlah juga hidup yang mana dosa dan pahala akan datang bersilih ganti memenuhi ruang waktu. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Jika cuba mengelak, dosa tetap ada di hadapan kita. Contohnya dosa mengumpat. Apapun semuanya ini tetap bergantung kepada kekuatan hati dalam mengawal nafsu serta kekuatan iman untuk menepis dosa sama ada disengajakan ataupun tidak.

Perbanyakan buat kebaikan dalam bulan Ramadan ini, terutama terhadap keluarga sendiri. Kalau seorang suami, jadilah seorang suami yang baik kepada isteri. Jika sebagai isteri, jadilah seorang isteri yang penyayang kepada suami. Kalau seorang ibu atau bapa, jadilah ibu atau bapa yang baik kepada anak-anak. Tidak guna baik dengan orang lain tetapi tidak berakhlak dengan keluarga sendiri. Jangan gunakan serpihan masa untuk keluarga tetapi jadikan waktu bersama-sama keluarga sebagai agenda utama. Walaupun sibuk mengejar kehidupan di dunia jangan lupa kepada tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT untuk menjaga anak-anak sebagai zuriat kurniaan-Nya.

Didik anak-anak supaya memiliki kecemerlangan dalam tiga perkara iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Gunakan kesempatan Ramadan ini untuk mendidik anak-anak patuh dengan perintah Allah. Melatih anak menjaga solatnya iaitu solat pada waktunya dan jangan tinggalkan solat walaupun satu waktu. Seterusnya didik anak-anak berpuasa. Jika solatnya terjaga dan puasanya dikerjakan dengan seikhlas hati, insya-Allah sudah ada jaminan kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Yang lebih penting, ajarkan dahulu anak-anak tentang adanya Allah yang membuatkan mereka mengerjakan setiap amalan wajib sebagai bukti ketaatan kepada Yang Maha Esa. Sebagai ibu bapa, kitalah pendidik pertama anak-anak. Demikianlah betapa pentingnya memulakan pendidikan anak-anak dengan penerapan nilai akidah melalui pembinaan dan pengukuhan sistem kepercayaan. Selepas itu barulah menerapkan tentang kepentingan amalan dan akhlak.

Seperkara lagi, ibu bapa usah terlalu fokus kepada hal-hal luaran berkaitan keperluan manusia tanpa memikirkan hal-hal dalaman melibatkan keperluan rohani. Contohnya apabila berpuasa dan menjelang tibanya hari raya, keutamaan ibu bapa lebih kepada memastikan persiapan baju raya anak-anak dan duit raya sebagai ganjaran kerana berpuasa. Sedangkan hal-hal kerohanian tentang kecerdasan emosi dan kecerdasan akal serta hubungan dengan Allah dari sudut hati anak-anak tidak difokuskan. Kesempurnaan kerohanian anak-anak dari segi agama sangat penting untuk bekalan ‘pencen kubur’ ibu bapanya kelak.

Pembinaan kerohanian dari segi hubungan sosial anak-anak dengan masyarakat sekelilingnya juga boleh diasuh sepanjang menjalani ibadah puasa. Memahamkan makna dan tujuan berpuasa kepada anak-anak adalah satu tanggungjawab penting buat ibu bapa terutama dalam konteks `kecerdasan sosial (social intelligent)’. Adakah anak-anak dapat sama-sama merasai kesusahan orang lain? Mungkin ada rakan sebaya mereka yang hidup dalam kemiskinan. Pakaian dan makan minum hanya ala kadar sahaja. Berbanding dengan anak-anak kita yang pandai meminta pakaian untuk hari raya, tidak kurang daripada lima helai dan mesti berjenama. Dapatkah mereka sama-sama berasa sedih terhadap rakan sebaya yang menjadi anak yatim atau yatim piatu tanpa ayah dan ibu? Berpuasa dan bakal menyambut hari raya tanpa orang yang tersayang. Oleh itu timbulkan kesedaran bahawa ada orang hidup susah dan perlu dibantu. Pada masa sama didik anak-anak tentang amalan bersedekah yang mana pahalanya pada bulan Ramadan ini berlipat kali ganda.

Seterusnya tentukan mereka bijak berinteraksi dengan rakan sebaya, orang tua dan selesa berinteraksi dengan golongan lebih kecil. Kita juga perlu mendidik anak-anak bagaimana mengasihi orang lain dan bagaimana membentuk diri supaya dikasihi. Kesemua pendekatan `kecerdasan sosial’ ini terhadap anak-anak boleh diterapkan melalui ibadah berpuasa.

Apatah lagi dalam era anak-anak melebihkan gajet berbanding keluarga. Berkumpul semeja dan berbuka bersama-sama keluarga hanya dapat dilakukan pada bulan Ramadan. Lazimnya ibu bapa dan anak-anak yang bekerja akan kembali awal ke rumah untuk berbuka puasa. Ini kerana pada bulan ini pihak majikan biasanya akan membenarkan pekerjanya pulang awal.

Bergerak daripada pengukuhan akidah, amalan dan akhlak barulah membentuk sikap kemanusiaan. Barulah ibu bapa boleh menggerakkan fizikal anak-anak untuk menjadi insan yang sempurna dan penuh kasih sayang. Ramadan bukan hanya ‘madrasah’ untuk mendidik orang dewasa tetapi juga ‘madrasah’ untuk kanak-kanak dalam mendidik kerohanian dan spiritual mereka. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.