Tidak menafikan ada amalan syirik tersebut yang didapati ‘berkesan’ apabila pulang ke tanah air, bagaimanapun tegasnya, jemaah harus ingat laungan talbiah yang dilaungkan ketika di Mekah.

“Di akhir laungan talbiah itu adalah ‘...tiada sekutu bagi-Mu’, tetapi malangnya penglibatan kita dalam amalan itu seolah-olah ucapan tersebut tidak terkesan dalam hati,” katanya.

Berkongsi pengalaman ketika membimbing haji, beliau berkata, ada jemaah tanpa rasa segan bertanya hotel manakah yang berada betul-betul berdepan dengan Hajarul Aswad, Multazam atau pancur emas.

Masa itu beliau cukup pelik dengan pertanyaan tersebut kerana biasanya selepas tamat musim haji, jemaah akan bertanya hotel manakah yang berdekatan dengan Masjidilharam kerana pada masa itu harga hotel agak murah.

“Bila saya selidik, ada pandangan lama masyarakat Arab yang menyatakan untuk memperoleh anak yang soleh, pasangan perlu mengadakan hubungan intim di hotel berkenaan,” katanya.

Samalah dengan gelagat jemaah mencari jin Islam di Kaabah untuk dijadikan khadam apabila pulang ke tanah air.

Ini kerana, mereka beranggapan ia lebih baik berbanding jin kafir dan satu kesempatan pada ketika itu kerana jin Islam turut menunaikan haji.

“Tindakan menjadikan Kaabah sebagai tempat mendapatkan azimat atau membawa pulang batu di Padang Arafah seolah-olah kita lupa siapa sebenarnya yang berkuasa atas muka bumi ini,” tegasnya.

SUKAR KAWAL AMARAH

Sikap cepat marah atau tidak puas hati kalangan jemaah bukan suatu yang asing. Faktor berada di tanah suci agak lama selain kekeliruan memahami perbezaan haji ifrad dengan tamatuk menjadi antara penyumbang kewujudan sikap negatif itu.

Jadi, tidak hairanlah apabila dikatakan isu yang mencetuskan sikap buruk tersebut hanyalah berkisar perkara remeh. Tetapi, ia mampu mewujudkan suasana tidak mesra dalam kalangan jemaah termasuk suami isteri atau ahli keluarga.

Bagi Lukmanul Hakim, kegagalan mengawal sikap buruk tersebut mungkin kerana kurang memahami dengan jelas makna surah al-Baqarah: 197 bermaksud,

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat (fasik) dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji....”

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan buruk dan keji serta tidak melakukan perkara fasik maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih daripada dosa).” - Riwayat Bukhari

Pengalaman Pengerusi Faizin International Travel & Tours itu menunjukkan bahawa suasana berkenaan mula muncul kira-kira selepas dua atau tiga minggu jemaah haji berada di Mekah.

“Lebih-lebih lagi jemaah haji yang berniat haji ifrad kerana kononnya ingin mengikut sunah. Bayangkan jika dia dari kumpulan pertama yang tiba di tanah suci, ini bermakna dia dalam ihram selama 45 hari.

“Dalam kursus haji, saya dan mungkin penceramah lain banyak kali pesan, haji jenis itu mungkin sesuai untuk mereka yang tiba empat lima hari sebelum hari wukuf,” katanya.

Justeru, Lukmanul Hakim berpesan agar jemaah haji mengelak sikap negatif itu sebelum menjejak kaki di tanah suci lagi melalui penyertaan dalam mana-mana kursus haji.

“Sikap cepat marah atau tidak puas hati itu normal, tetapi kita kena tahu cara untuk kawal agar tidak berpanjangan. Jika tidak, jiwa kita tidak akan tenteram dan cukup mudah untuk syaitan atau iblis menguasai diri,” jelasnya.