PENGARAH Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal mempunyai pandangan tersendiri mengenai senario dihadapi pasangan terbabit. 

Dengan trend berkahwin muda semakin mendapat tempat dalam kalangan gen Y, statistik dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dari tahun ke tahun agak `menggerunkan’ iaitu banyak perceraian berlaku terhadap pasangan yang berkahwin kurang dari lima tahun.

NOOR AZIAH MOHD.AWAL
NOOR AZIAH MOHD.AWAL 

Kenapa mudah sangat melafaz cerai? Rapuhkah institusi perkahwinan gen Y? Wartawan NOR AZIAH JAAFAR dan MOHD. SHAH CHE AHMAD memperincikan sebab di sebalik realiti banyak perkahwinan terutama generasi muda hari ini berakhir dengan perceraian.

Punca utama perceraian bagi lelaki:
1- Tiada persefahaman: 56.2 peratus
2- Isteri curang: 11.8 peratus
3- Campur tangan mentua atau ipar: 10 peratus 

Punca utama perceraian bagi wanita:
1- Tiada persefahaman: 38 peratus
2- Pasangan curang: 20.6 peratus
3- Suami abai tanggungjawab: 15.2 peratus

Untuk memudahkan pemahaman, pandangan beliau kami kelaskan mengikut alasan perceraian yang dinyatakan dalam data LPPKN. 

1- Ketidaksefahaman
Ini adalah alasan paling mudah untuk memohon cerai jika permohonan datang daripada persetujuan bersama walaupun yang memohon adalah isteri. Ketidaksefahaman merupakan

alasan mudah kerana tiada keperluan untuk memberitahu seluruh dunia kenapa mereka bercerai. 
Ketidaksefahaman boleh berlaku kerana pasangan tidak boleh lagi bertentang mata, tidak boleh bercakap antara satu sama lain atau jika mereka berkomunikasi pasti bergaduh. 

2- Curang
Dahulu kita jarang mendengar isu isteri curang berbanding suami bermain kayu tiga dengan perempuan lain. Namun, hari ini dengan perkembangan teknologi, isteri juga mula menjadi curang semasa ketiadaan suami atau semasa bekerja. 
Hari ini kerana pasangan suami isteri kebanyakannya bekerja, maka masing-masing mempunyai ruang dan peluang berkenalan dengan orang lain sekali gus menjalin hubungan. 
Malah, hari ini anak gadis atau janda sudah tidak ambil kira lelaki yang dikenali itu suami orang mahupun bapa orang. Yang penting dia dilayan macam puteri dan apa dimahukan diperoleh. 
Hilang sudah nilai diri, sanggup merobohkan rumah tangga orang lain demi kebahagiaan diri sendiri. Bagi lelaki, alasan mereka amat mudah. Lelaki boleh kahwin lebih daripada satu, maka isteri tiada hak untuk melarang atau tidak bersetuju. 
Lelaki juga sering terlupa bahawa tanggungjawab utama dan pertamanya ialah menanggung nafkah isteri dan anak-anak. Malah, ada juga lelaki yang bergelar suami tetapi ditanggung oleh isterinya dan dalam masa yang sama ada hati pula mahu berkahwin lagi. 

 

GADUH SIKIT, CERAI

Menurut Noor Aziah, generasi lama berfikir panjang sebelum berkahwin dan jika ingin bercerai sekalipun, sering hasrat itu diketepikan kerana memikirkan anak-anak dan rasa malu kepada ahli keluarga. 

“Zaman saya dahulu berbeza. Masa berkahwin kita diingatkan jangan bercakap mengenai perceraian. Perkataan itu jangan disebut. Hari ini perkataan cerai berada di hujung bibir. 

“Gaduh sahaja, cerai. Marah sedikit cakap pasal cerai dan apa sahaja yang berlaku perkataan cerai akan disebut. Generasi muda hari ini juga dilihat semakin kurang membuat persediaan untuk berkahwin, begitu juga memikirkan kesan perkahwinan kepada kehidupan mereka,” ujarnya. 

Apabila berkahwin katanya, ada pasangan terlepas pandang isu zuriat bakal dilahirkan sehinggakan ada suami ‘terkejut’ apabila mendapati isteri hamil dan meminta ‘nasihat’ doktor sekiranya boleh menggugurkan kandungan.

Lebih serius katanya, ada mencuba sendiri dengan mengambil makanan yang dikatakan ‘tajam’ untuk membunuh janin dalam kandungan dan ada juga isteri meneruskan kehamilan tanpa persetujuan suami dan akhirnya bercerai selepas kelahiran anak pertama. 

“Pada 20 tahun lalu semua pasangan yang berkahwin akan gembira dengan berita kehamilan. Namun generasi muda hari ini agak berbeza. Walaupun bersungguh-sungguh hendak berumah tangga, namun persediaan mental dan material alam perkahwinan tidak dibuat dengan baik. 

“Ini mungkin antara sebab mengapa banyak perceraian berlaku kepada pasangan yang baru berkahwin kurang lima tahun. Malah ramai yang bercerai selepas tiga tahun berkahwin. 

“Perkahwinan bukan untuk dicuba-cuba tetapi hingga ke akhir hayat,” tegasnya.