Kedengaran satu sikap terpuji, namun bagi pendakwah antarabangsa, Nouman Ali Khan berkata, amalan seperti itu hanya layak dikategorikan sebagai melakukan kebaikan, namun bukan sebaik-baik hakikat kebajikan dan bakti yang sempurna di sisi Allah.

Pengasas Institut Bayyinah yang berpangkalan di Dalas, Texas itu berkata, ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Al-Imran: 92)

Mengulas lanjut, Nouman menjelaskan, menerusi ayat tersebut, Allah menggunakan kalimah ‘al-birr’ bukan ‘al-khair’ atau perkataan bahasa Arab lain yang membawa maksud sama iaitu ‘kebaikan’.

“Jika kita lihat tafsiran penggunaan kalimah itu dalam bahasa Arab, perkataan ‘al-birr’ adalah kata yang hampir dengan ‘al-bar’ yang bermaksud daratan. Allah berfirman; ‘Kamu tidak akan sampai kepada kebaikan.’ Maksud ayat yang mirip dalam pengucapan dengan permainan kata sangat indah.

“Ini menandakan bahawa Allah ingin kita supaya membayang sesuatu gambaran. Analogi mudah adalah, bayangkan kamu dalam perjalanan di tengah lautan dengan perairan yang ganas dan ombak badai, malangnya kamu tidak tahu bilakah akan tiba ke destinasi.

“Dan akhirnya apabila kamu tiba di sebuah pulau atau daratan yang kamu dapat hidup bahagia di atasnya. Inilah kebahagiaan daripada ‘al-bar’ itu. Ini mengapa saya katakan ‘al-birr’ dan ‘al-bar’ itu mirip. Dapat tiba ke daratan bagaikan menjangkau kebaikan, terasa lega, tenang dan bahagia,” katanya.

Beliau berkata, berada di tengah lautan dalam keadaan yang tidak menentu pastinya membuatkan seseorang itu gelisah dan tidak tenang apatah lagi keadaan kapal yang uzur dan terlalu berat dengan muatan.

“Apakah yang akan kamu lakukan untuk selamat jika berada dalam situasi itu? Sudah tentu kamu perlu membuang muatan yang lebih itu untuk selamat.

“Jika kita lihat kembali firman Allah tadi iaitu: ‘Kamu tidak akan sampai kepada kebaikan..’ iaitu dalam hal ini adalah daratan ‘..sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.’ Kamu mungkin terpaksa membuang semua muatan daripada kapal itu sesuatu yang kamu sayangi semata-mata untuk selamat.

“Inilah maksud firman Allah dalam ayat ini mengajar kepada kita bahawa, jika ingin memperoleh kebaikan hakiki hendaklah sanggup berkorban sesuatu kita sayangi, bukan hanya memberikan apa yang telah kita tidak ingini,” ujarnya.

Nouman berkata, melakukan kebaikan bukan hanya bersedekah kepada masjid, tetapi digalakkan juga memberikan sesuatu daripada yang kamu sayangi kepada ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan orang sekeliling kamu.

“Sudah tentu kita sendiri akan berasa sedih jika orang lain memberikan barang terpakai atau sudah tidak diinginkan lagi. Begitu juga perasaan orang lain yang menerima barang terpakai daripada kita.

“Ketika kamu berbelanja seperti membeli pakaian, perhiasan atau apa sahaja yang kamu dapatkan untuk diri sendiri, maka berikan hal sama kepada orang lain terutama saudara mara kamu yang memerlukan. Bersedekahlah dengan sebaiknya.

“Itulah indahnya lafaz ayat yang digunakan oleh Allah menerusi kalimah ‘al-birr’. Betapa indah kalimah yang dijelaskan oleh Allah kepada kita seolah-olah kita sedang bermusafir di tengah lautan.

“Ketika kita menganggap segala kita perlukan ada dalam kapal ini, tetapi Allah berfirman; “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”

“Begitu juga, segala yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya, tidak perlulah menghebahkan di media sosial atau di mana-mana. Jadikan ia rahsia antara kamu dengan Allah. Insya-Allah lebih banyak kebaikan yang akan kamu peroleh,” katanya.