Dilaporkan hampir 300 penduduk terkorban manakala ribuan yang lain cedera akibat serangan tentera Israel sejak bantahan itu berlangsung pada Mac tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, situasi itu mengakibatkan hospital-hospital di Gaza tidak mampu merawat jumlah pesakit yang kian meningkat kerana kekurangan bekalan ubat.

“Dengan serangan demi serangan dilancarkan, hospital berkenaan tidak lagi mampu memenuhi keperluan mangsa yang cedera kerana jumlah mereka bertambah setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran #MedicaI4Gaza yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Econsave Alam Jaya, Shah Alam, baru-baru ini.

Kempen yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM3 juta itu turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Econsave, Lai Sia Ling dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam.

Antara pihak yang akan bekerjasama dalam projek ini ialah Kementerian Kesihatan Gaza, AI-Quds Hospital (Gaza City), Dar Assalam Hospital Khan Younis, Kuwait Hospital Rafah, Awda Hospital Jabalia, Yafa Medical Centre Deir AI Balah dan pejabat MyCare Gaza.

Walaupun usaha melaksanakan kempen itu dianggarkan hanya mampu menampung rawatan seramai 2,400 pesakit, namun kedua-dua organisasi tersebut berharap agar menerima lebih sumbangan daripada orang ramai bagi merawat lebih ramai pesakit.

Harapan itu kata Kamarul Zaman, adalah selaras dengan hasil pertemuan pihak MyCare dengan Timbalan Menteri Kesihatan Gaza, Dr. Yusof Aburrish ketika memasuki Gaza tahun lalu.

“Melalui pertemuan itu, kami telah mengenal pasti lebih 7,000 pesakit yang masih menunggu untuk mendapatkan pembedahan dan rawatan segera,” katanya.

KEKURANGAN PAKAR

Dalam masa sama beliau memberitahu, tidak hanya mengalami kekurangan peralatan perubatan terkini, hospital-hospital di Gaza turut berdepan dengan kekurangan tenaga pakar.

“Apa tidaknya, semasa berpeluang melawat bilik bedah di sebuah hospital, kami dapati ia hanya menyediakan peralatan asas yang sudah uzur bagi melakukan pembedahan.

“Malah ketika pertemuan bersama Dr. Yusof, beliau mengatakan selain bekalan ubat-ubatan yang kritikal, keperluan doktor pakar juga amat diperlukan masa ini,” katanya.

Rentetan dari itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya bakal menghantar sepasukan tenaga pakar perubatan Malaysia iaitu seramai 60 doktor secara berperingkat.

“Untuk fasa pertama, 15 doktor akan dihantar ke Gaza dan berkhidmat selama 10 sehingga 15 hari di sana,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly dalam ucapan perasmiannya menyambut baik inisiatif kerjasama antara Econsave dan MyCare bagi membantu rakyat Palestin.

“Kerajaan amat mengalu-alukan inisiatif murni MyCare dan Econsave menjalinkan kerjasama bagi membantu rakyat Palestin dan berharap ia akan menjadi contoh pelbagai pihak lain yang berkaitan, “ katanya.

Dalam majlis sama, Mas Imran berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong kempen berkenaan bagi membantu ribuan rakyat Palestin yang cedera. 

“Kempen Medical4Gaza dilaksanakan dengan mengadakan pameran-pameran dan aktiviti MyCARE di cawangan-cawangan Econsave terpilih di seluruh negara di samping melancarkan tabung-tabung sumbangan yang ditempatkan di setiap cawangan Econsave seluruh negara,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Humanitarian Berhad:
* 551575004299 (Maybank Berhad)
* 8602135592 (CIMB Islamic)
* 12092010034904 (Bank Islam)