Ketua Projek Selamatkan Rohingya Al-I’tisam, Mohd. Subari Jahaya berkata, hujan lebat yang melanda Arakan pada awal bulan ini telah menenggelamkan sebahagian besar wilayah itu sehingga masyarakat terputus bekalan makanan.

Ujarnya, kebanyakan kawasan terlibat membabitkan penempatan di sepanjang sungai Ayeyarwady.

“Tiada maklumat tentang nasib dan jumlah kemusnahan yang berlaku diperoleh kerana Internet di beberapa negeri di Arakan telah disekat kerajaan Myanmar bagi menghalang pengaruh Tentera Arakan (Arakan Army).

“Bagaimanapun, wakil kami di Kyauktaw melaporkan banyak kemusnahan berlaku melibatkan tanaman padi, ternakan dan rumah.

“Menerusi bantuan yang diperoleh daripada rakyat Malaysia, kami akan membuka dapur medan bagi membekalkan makanan panas kepada mangsa-mangsa terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Subari, dapur medan itu telah beroperasi sejak semalam dan diuruskan oleh sukarelawan Al-I’tisam yang merupakan masyarakat tempatan di sana.

Hal demikian kerana Al-I’tisam Malaysia mengalami kesukaran untuk memasuki kawasan berkenaan ekoran keadaan yang masih lagi tidak stabil untuk orang luar berada di kawasan bencana.

“Untuk permulaan sebanyak 300 bungkus makanan dan minuman akan diagihkan setiap hari pada waktu tengah hari.

“Menu makanan yang dimasak dan diagihkan kepada mangsa terdiri daripada nasi putih, sayur dan daging,” katanya.

Al-I’tisam merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil cakna tentang bencana tersebut yang kurang dihebahkan kepada masyarakat antarabangsa kerana sekatan jalur lebar oleh kerajaan Myanmar sejak sebulan lalu.

Sehingga kini, Al-I’tisam telah membina dua buah sekolah di Kyauktaw, membina telaga tiub dan menghulurkan pelbagai bantuan lain sejak lima tahun lalu.

Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam:

Maybank - 562478141589

Bank Islam - 12038010114731 
CIMB - 8600633583

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung derma tersebut boleh hubungi pihak Al-I’tisam di talian 016-2051880 atau 012-5271880. - UTUSAN ONLINE