Lebih-lebih lagi apabila segala kos mengerjakan haji ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi sebagai pengiktirafan atas usahanya dalam kerja-kerja dakwah di negara ini.

Sudah tentu peluang yang datang tersebut tidak mahu disia-siakannya sementelah beliau ketika itu sememangnya tidak berkemampuan daripada segi kewangan, apatah lagi belum membuka akaun simpanan di Tabung Haji.

“Memang tidak sangka mendapat peluang sebegini kerana ketika itu saya tidak mempunyai wang, namun sudah ditetapkan Allah SWT saya akan mengerjakan haji pada tahun itu yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.

“Pernah saya melihat seorang jemaah dari Bangladesh dalam kapal terbang, berdasarkan penampilannya yang agak daif, saya terfikir bagaimana orang ini boleh pergi haji.

“Ia kemudiannya menguatkan pemikiran saya bahawa haji ini sebenarnya panggilan daripada Allah. Suatu keistimewaan kepada orang itu, walau macam mana pun keadaannya dia pasti akan datang (mengerjakan haji),” katanya ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Nicholas yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Center Foundation (HCF) memeluk Islam pada 1985 ketika melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

Berasal dari Papar, Sabah, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian dari Arkansas State University, Amerika Syarikat.

TERKENA TAHI BURUNG

Berkongsi pengalaman mengerjakan ibadat haji, lelaki berketurunan Kadazan Dusun itu berkata, beliau pernah mengalami peristiwa yang benar-benar memberikannya pengajaran.

Ketika berada di Masjidilharam, beliau terlihat begitu banyak burung berterbangan di sekitar Kaabah.

Terlintas dalam hatinya: “Kenapa tidak kena tahi burung ya?”

Dengan kuasa Allah, tahi burung betul-betul terjatuh dan terkena pada badannya.

“Satu lagi kejadian ketika saya tertinggal kasut di Babussalam. Waktu itu terlintas dalam hati kalau tertinggal mesti hilang. Akhirnya ia betul-betul hilang.

“Pengajaran yang saya peroleh adalah bersangka baik sangat penting di tanah suci. Bayangkan kalau terlintas dalam hati sahaja Allah terus tunjuk, apatah lagi kalau ada niat hendak melakukan perkara tidak baik,” ujarnya.

Beliau juga masih mengingati peristiwa ditegur seseorang ketika berada di kawasan Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah.

Selepas mengerjakan solat sunat di ‘taman syurga’ itu, beliau mengambil kesempatan untuk berzikir.

Tiba-tiba bahunya ditepuk seorang lelaki tua dan berkata, “Afdholudz dzikri lailahaillallah (zikir paling afdal ialah lailahaillallah).”

“Memang ketika itu saya terlupa zikir tersebut. Mungkin dia terdengar saya berzikir tetapi tiada lafaz lailahaillallah’. Jadi dia tegur.

“Apabila saya tersedar dan hendak beralih kepadanya, lelaki tersebut sudah tiada. Agak menghairankan kerana di Raudhah terlalu sesak dengan jemaah, mustahil dia begitu cepat dapat meninggalkan kawasan tersebut.

“Jadi saya terfikir ketika itu, adakah lelaki tersebut malaikat atau jin Islam yang muncul untuk mengingatkan saya,” katanya.

MENGUBAH PERSEPSI

Mengulas mengenai kesan ibadat haji terhadap dirinya pula, Nicholas berkata, persepsinya terhadap kehidupan banyak berubah apabila menjejakkan kaki di tanah suci dan melihat Kaabah dengan mata sendiri.

Sebelum ini, beliau mungkin tidak memikirkan sangat tentang hari akhirat serta kepentingan untuk memberikan lebih kehidupan terhadap agama Allah.

Namun perjalanan haji yang dilaluinya menimbulkan kesedaran bahawa kehidupan ini hanya sementara dan beliau perlu memberi lebih ruang untuk melakukan amal, menjaga ibadah serta mencari jalan untuk menyumbang kepada jalan Islam.

“Sebelum ini memang sudah buat kerja-kerja dakwah, tetapi selepas balik daripada haji, Allah buka lebih luas jalan itu dan beri lebih kekuatan untuk berjuang dalam jalan dakwah.

“Dalam berdakwah, ia bukanlah bergantung kepada kekuatan atau bijak pandai kita, sebaliknya kebergantungan itu daripada Allah,” ujarnya.

Ini tambahnya sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (al-Ankabut: 69)

Sekembalinya daripada mengerjakan haji, kegiatan dakwah Nicholas atau turut dikenali sebagai Muhammad Abdullah dalam kalangan teman-teman rapatnya menjadi semakin aktif.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Pemasaran Strategik dari University of Hull, United Kingdom banyak menjalankan dakwah kepada masyarakat bukan Islam terutama di negeri kelahirannya.

Ternyata titik peluh yang dicurahkan ke atas jalan Allah tidak sia-sia kerana beliau kemudiannya ditawarkan sekali lagi oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan haji pada 2012.