Pameran anjuran Manhajj Brothers Sdn. Bhd. (Manhajj Brothers) menampilkan lebih 40 artifak Nabi Muhammad SAW, sahabat serta peninggalan Kerajaan Uthmaniah.

Pengarah Urusan Manhajj Brothers, Datuk Anuar Hassan berkata, pameran tersebut membuka peluang kepada seluruh masyarakat melihat sendiri sebahagian artifak tersebut dengan lebih dekat.

Katanya, selain bermatlamat memberi pendidikan dan pendedahan kepada orang ramai, pameran tersebut berupaya memberi inspirasi kepada umat Islam agar lebih menyanjung tinggi Nabi Muhammad SAW yang mempunyai budi pekerti mulia.

Menurutnya, orang ramai juga berpeluang mengenali lebih dekat tamadun dan zaman kegemilangan Islam terutama semasa pimpinan Khulafa ar-Rashidin dan sahabat.

“Antara artifak yang boleh dilihat pada pameran ini adalah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam-zam, pasir makam Rasulullah dan kunci makam tersebut.

“Tidak ketinggalan, pengunjung berpeluang melihat pedang-pedang milik sahabat yang juga pejuang Islam terhebat seperti Muaz bin Jabal r.a. dan Sultan Muhammad al-Fatih selain senjata serta kelengkapan perang peninggalan Kerajaan Uthmaniah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

MENELUSURI SEJARAH ISLAM

Pameran tersebut mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pemilihan penganjuran di PWTC berdasarkan lokasi strategik di negara ini selepas penganjuran pameran itu di Johor dan Melaka sebelum ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, khazanah Islam lain yang turut dipamerkan kepada pengunjung adalah Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan kunci Makam Saidatina Fatimah.

Katanya, bagi artifak peninggalan Kerajaan Uthmaniah adalah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran Emas Kiswah Kaabah serta Kiswah Pintu Taubat yang merupakan koleksi dari Tanah Arab seperti Mekah, Madinah, Yemen serta Turki.

Tambahnya, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat menarik daripada petugas yang ditempatkan di setiap kawasan pameran bagi menerangkan semua artifak dipamerkan termasuk sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam di seluruh dunia serta maklumat mengenai sahabat.

Menurutnya, bagi menyemara–kkan lagi penganjuran pameran itu, orang ramai boleh mendengar tazkirah ringkas serta penerangan mengenai sejarah kehidupan dan perjuangan Rasulullah daripada penceramah pada hari pameran berlangsung.

“Manhajj Brothers merancang menganjurkan pameran seumpama ini di PWTC sebagai acara tahunan dan membawa pameran ini ke negara lain seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand serta Filipina,” katanya.