Ini kerana kata Muhamad Nazeli, nilai-nilai sedemikian akan mewujudkan kemesraan sama ada ketika mengikuti kelas pengajian atau aktiviti luar.

Malah tambahnya, usaha sedemikian turut dilakukan melalui penganjuran program tertentu seperti majlis berbuka puasa dan sambutan perayaan.

“Uniknya di sini (HCBTR), kami wujudkan suasana kekeluargaan kerana tidak mahu adanya jurang dengan panggilan nama-nama rasmi seperti ustaz, ustazah, encik, tuan dan sebagainya.

“Kami mahu mereka anggap kami sebagai ibu-bapa atau datuk kepada anak-anak mereka, tidak perlu panggil gelaran rasmi itu walaupun terserempak ketika di luar,” katanya.

Dalam pada itu, Umi Kalthom menambah, ikatan sedemikian lebih menyerlah apabila mereka berdua sering menerima ucapan sempena Hari Bapa atau Hari Ibu daripada mualaf yang belajar di pusat tersebut.

Katanya, mereka juga sering bertanya khabar mualaf yang sudah tidak aktif atau jarang menghadiri kelas dan aktiviti dengan menghubungi mereka.

“Apa yang kami lakukan sejak dahulu bukan hanya mengambil tahu perkembangan tahap pengajian agama mereka secara dekat, tetapi juga hal-hal di luar kelas.

“Lagipun, mualaf datang ke sini secara sukarela, tidak ada sebarang bayaran atau elaun. Jadi, bagi kami kesanggupan mereka itu perlu dihargai,” katanya.

KURANG SUKARELAWAN

Dalam pada itu, pasangan tersebut mengakui banyak cabaran dihadapi dalam mengurus HCBTR dan antara yang belum dapat diselesaikan adalah kekurangan tenaga sukarelawan.

Keperluan kepada tenaga sukarelawan itu penting bagi menangani pertambahan jumlah bukan hanya kalangan mualaf, tetapi juga kedatangan bukan Islam.

“Kami mahukan sukarelawan yang tidak hanya mampu mengajar tetapi juga menjaga kebajikan mualaf kerana ada kalangan mereka tidak mampu ke kelas, sakit dan berdepan pelbagai isu lain,” jelasnya.

Cabaran tersebut tidak terhenti di situ. Mereka turut berdepan kesukaran untuk melahirkan pendakwah dalam kalangan mualaf itu sendiri. Mereka masih kurang yakin untuk berdakwah walaupun sudah lama memeluk Islam.

“Kita mahu kenal pasti mualaf yang berpotensi menyebarkan mesej Islam kepada etnik atau bangsa masing-masing kerana mereka lebih memahami adat serta budaya golongan tersebut,” katanya.