Apabila melihat kebaikan dan layanan mesra mereka, terdapat sesetengah Muslim mengatakan bahawa mereka telah 'Islam' tapi belum Muslim. Diharapkan janganlah kita terlebih memuji kerana yang terbaik di sisi Allah adalah orang yang bertakwa.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.”

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman tentang kelebihan rakyat Jepun yang Allah ciptakan semoga pembaca dan saya sendiri boleh memanfaatkannya.


KEISTIMEWAAN

Mengapa mereka mampu menjadi begini? Antara sebabnya mereka adalah bangsa diciptakan oleh Allah yang mempunyai lebih harga diri positif.

Dalam diri manusia terdapat dua jenis harga diri. Pertama adalah positif yang dikenali sebagai rendah diri dan yang kedua adalah ego iaitu negatif yang diwarisi daripada syaitan.

Kebanyakan warga Jepun mempunyai harga diri jenis positif. Harga diri jenis positif inilah yang banyak membantu kemajuan masyarakat mereka.

Mereka ‘bangga’ dengan membuat kebaikan. Mereka akan cuba melakukan yang terbaik kerana berasa malu jika gagal. Dengan adanya harga diri positif ini mereka mampu maju ke hadapan dengan penuh konsisten dan bertanggungjawab.

Antara kesalahan yang paling mereka ‘malu’ adalah malu untuk mengaku kesalahan sendiri dan seterusnya meminta maaf.

  • Apabila salah, mereka akan cepat meminta maaf kerana harga diri positif membuatkan mereka malu untuk tidak mengaku kesalahan sendiri.
  • Mengaku kesalahan sendiri dan meminta maaf adalah kebanggaan mereka.
  • Mereka amat bangga jika berjaya mengaku kesalahan sendiri.

Sesiapa sahaja di sini, jika menaiki kereta api dan terlanggar warga Jepun dengan sengaja atau sebaliknya, mereka akan ‘berebut’ untuk menjadi yang pertama meminta maaf. Walaupun kadang-kadang kesalahannya adalah daripada kita, tetapi merekalah yang akan meminta maaf kerana merasakan kesalahan itu juga berpunca daripada mereka yang tidak berhati-hati.

Bagi mereka siapa yang paling cepat meminta maaf adalah pemenang!

Seperti kita selalu dengar cerita di Jepun mengenai ahli politik mereka yang meletak jawatan kerana membuat kesalahan atau gagal dalam tugasan. Tindakan ini didorong oleh harga diri positif yang dimiliki mereka.

Apabila ahli politik mereka melakukan kesalahan, mereka akan segera meminta maaf dan seterusnya jika kesalahan itu besar pada pandangan masyarakat, mereka akan meletak jawatan kerana berasa amat malu dengan kesalahan itu. Malah, jika kesalahan itu terlalu berat atau terlalu malu, mereka sanggup membunuh diri.


ISI RUANG KOSONG

Pada pendapat saya, Allah menciptakan mereka lain daripada yang lain. Rakyat Jepun adalah antara bangsa yang banyak boleh dipelajari dan dimanfaatkan, sekali gus membuktikan secara tidak langsung kehebatan Allah.

Sikap penuh tanggungjawab seperti warga Jepun inilah yang diperlukan dalam sesuatu masyarakat atau negara. Dengan kewujudan elemen tanggungjawab yang tinggi, negara akan mampu untuk terus maju ke hadapan.

Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1982 iaitu setahun selepas mengambil tampuk pemerintahan adalah amat memeranjatkan. Bagaimana Dr. Mahathir mampu melihat kebaikan negara Jepun ini pada saat orang lain begitu asyik berkiblatkan negara Barat.

Jepun adalah sebuah negara yang kemajuannya seimbang antara kemodenan dan kehidupan kemasyarakatan.

Bagaimanapun terdapat satu kekurangan yang ramai tidak menyedarinya. Kekurangan itu ialah tiadanya keimanan kepada Allah dan hari akhirat, membuatkan jiwa mereka kosong!

Inilah yang kami cuba lakukan di sini iaitu memperkenal Allah kepada warga Jepun agar jiwa dalaman mereka juga penuh terisi. Sebenarnya mereka amat perlu didedahkan dengan kehebatan agama Islam.

Untuk berlaku adil, dengan kebaikan yang wujud dalam masyarakat mereka, sesungguhnya mereka amat perlu diberi peluang dan ruang untuk mengenali Islam. Mereka amat berhak untuk diperkenal kepada Islam dan jika kami di Jepun ini tidak memperkenal apa itu Islam kepada mereka, siapa lagi yang harus melakukannya?

Islam adalah rahmat Allah untuk semua manusia. Ia tidak sepatutnya terkurung dalam kandang etnik, bahasa atau sempadan geografi.

Alhamdulillah, saya dan beberapa sahabat lain menggunakan kelapangan masa kami untuk berdakwah di sini dan juga dalam alam maya Facebook.

Akhir sekali, doakan kami dan seluruh umat Islam terus diberikan hidayah untuk kekal dalam Islam. Doakan juga kami yang berdakwah di sini dilindungi, diberikan ilmu dan kekuatan untuk terus berdakwah, dimurahkan rezeki serta dipimpin ke jalan yang lurus.