Walaupun pelbagai pelan tindakan dan keselamatan dilakukan, namun ia dilihat masih kurang menyelesaikan kes kemalangan yang meragut nyawa pekerja itu.

Perkara itu diakui oleh Pengurus Kanan Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) TNB, Mohd. Yusre Mohd. Yusoff, ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menyedari hakikat al-Quran yang mengandungi hikmah tersendiri, beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk menyerapkan pendekatan al-Quran dalam membina Budaya Keselamatan Tenaga (TSC).

Pendekatan itu tambahnya, bukan hanya terhad kepada pekerja Islam, tetapi semua kakitangan tanpa mengira agama untuk berkongsi iktibar dan manfaat daripada panduan kitab suci itu.

“Kami mendapati bahawa pendekatan konvensional masih belum mampu menyelesaikan masalah kemalangan di tempat kerja melibatkan kakitangan kami.

“Bertitik tolak dari itu kami menemui pihak Sinergi Ikhlas, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bagi merungkai permasalahan tersebut menerusi pendekatan al-Quran khususnya dalam surah Yassin bagi tujuan melahirkan seterusnya mengaplikasikan pendekatan kerohanian dari perspektif Islam,” katanya.

Mohd. Yusre berkata, pihaknya dan Sinergi Ikhlas memilih surah Yasin ayat 1 hingga 12 sebagai panduan aspek keselamatan memandangkan ayat suci itu bersesuaian dengan nilai-nilai TSC iaitu Menilai, Patuh, Tegur dan Prihatin.

Jelasnya, sejak pendekatan ini diambil beberapa bulan lalu, semua kakitangan TNB sama ada beragama Islam mahupun bukan menerimanya dengan baik walaupun ada segelintir bertanya untuk mendapat penjelasan lanjut.

“Lebih membanggakan kadar kemalangan di tempat kerja juga didapati semakin berkurangan kebelakangan ini hasil perubahan dari pendekatan keselamatan ini.

“Untuk memastikan warga kerja TNB dapat mengangkat nilai al-Quran, justeru kefahaman secara jelas perlu diberi. Penerangan dan latihan disampaikan oleh lima tenaga pengajar dari pihak Sinergi Ikhlas dalam 56 sesi dan dihadiri 4,000 pekerja dan kontraktor,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran untuk menyampaikan pendekatan tersebut kepada 36,000 pekerja dan kontraktor seluruh negara, beliau berkata, program yang dilaksanakan sejak lapan bulan lalu itu menghadapi cabaran untuk mengekalkan nilai-nilai tersebut secara istiqamah.

Katanya, apabila TSC digabung jalin dengan pendekatan al-Quran, ia diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan budaya kerja lebih baik dan memberi impak positif kepada TNB terutama dalam aspek keselamatan pekerjaan.

Beliau memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan iaitu: “Kita fikir al-Quran adalah kotak hadiah yang semua orang kata ada pelbagai kebaikan, boleh untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam dunia, boleh menjadi pemimpin yang baik dan menawarkan masuk syurga. Namun kita tidak pernah membuka kotak bungkusan tersebut. Kita sanggup mati untuk mempertahankan kotak tersebut tapi perkara menyedihkan apabila kita tidak buka dan mendalami kandungannya.”

Justeru, Mohd. Yusre berharap bukan hanya TNB, malah syarikat-syarikat korporat lain turut mengangkat nilai al-Quran dalam menguruskan apa jua bidang perniagaan terutama dalam aspek keselamatan supaya seluruh umat manusia sejagat mendapat rahmat dan keberkatan dari-Nya.