Lebih menyedihkan, bukan hanya golongan bukan Islam, malah insan yang tertanam identiti zahiriahnya beragama Islam tidak terkecuali dalam kelompok tersebut. Segalanya dilakukan demi mengejar nikmat hidup sehingga terlupa bahawa baki umur setiap detik dan hari semakin berkurang bak kata dunia kata pergi, kubur kata mari.

Khabar Dari Barzakh yang membincangkan Kitab as-Sahih 
wal-Ma’tsur fi ‘Alam al-Barzakh wal-Qubur (Sahih dan Ma’tsur tentang Alam Barzakh dan Kubur) karangan Syaikh Ahmad Mahmud Syawabkah merupakan antara rujukan kontemporari yang menghimpunkan riwayat dan nukilan berkaitan hal kematian dan alam barzakh sehinggalah ke peristiwa kiamat serta kebangkitan di akhirat.

Syaikh Syu’aib al-Arnauth RHM (wafat 1438H) menyebutkan dalam kata aluannya terhadap kitab ini bahawa ia patut dimiliki dan difahami oleh setiap Muslim agar dapat menginsafi diri dengan meningkatkan tahap persediaan menghadapi kematian serta kehidupan di akhirat.

“DEMI Allah! Rasulullah tidak wafat. Baginda pasti akan dibangkitkan kembali dan memotong kaki serta tangan mereka yang mengatakan Rasulullah telah wafat.”

Saidina Umar r.a. seakan mengamuk di luar rumah baginda apabila semua orang mula menyebut tentang kewafatan Rasulullah. Kata-kata khalifah Islam kedua itu direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya.

Sehinggalah apabila Saidina Abu Bakar r.a. keluar setelah melihat sendiri jasad baginda, beliau mula berbicara; “Sesiapa yang ‘menyembah’ Muhammad, sesungguhnya baginda telah wafat! Adapun sesiapa yang menyembah Allah, Dia kekal hidup dan tak akan mati!”

Kemudian Abu Bakar membacakan potongan firman Allah maksudnya: “Sungguh, engkau akan mati, dan mereka semua juga akan mati!” (az-Zumar:30)

Beliau meneruskan lagi dengan membacakan kalam-Nya yang lain ertinya: “Muhammad itu hanyalah sekadar utusan, di mana telah berlalu sebelumnya ramai utusan (yang lain). Adakah sekiranya dia meninggal atau terbunuh, kalian mahu berpaling (daripada agama ini)?” (Ali Imran: 144)

Dalam satu riwayat Saidatina Aisyah r.a., disebutkan; “Demi Allah, (keadaan ketika itu) seolah-olah semua orang tidak pernah tahu Allah telah menurunkan ayat tersebut sehinggalah Abu Bakar r.a. membacakannya, lalu semua sahabat yang mendengarnya, mengulang membaca ayat tersebut.”

TUNDUK KEPADA WAHYU

Suasana menjadi sangat sayu. Para sahabat semua tunduk, menangis. Namun, kata-kata ringkas Abu Bakar dengan hanya menyebutkan mesej jelas daripada wahyu cukup untuk menjadikan mereka menelan hakikat.

Kalau keadaan yang sama berlaku sekeliling kita, respon Abu Bakar itu mungkin disambut dengan maki hamun atau sindiran, dilempar dengan gelaran ‘penunggang agama’ atau seumpamanya.

Namun, kita perhatikan, sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah menyebutkan tentang sikap para sahabat seperti Umar bahawa: “Dia seorang yang waqqāfan di hadapan kitab Allah.” - Riwayat Bukhari

Ia bermaksud, ketika mereka berhadapan dengan sebarang permasalahan lalu ditunjukkan buktinya yang jelas dalam al-Quran dan sunah, mereka akan terus tunduk dan patuh.

“Kami dengar dan kami taat!” (al-Baqarah :285). Itu ikrar mereka.

Para sahabat sedar bahawa mereka tidak layak untuk memberikan apa-apa komentar terhadap ketetapan Allah. Ini kerana itulah tanda kukuhnya keimanan mereka, jauh daripada ragu dan keliru akan hikmah di sebalik takdir-Nya.

Demikian sikap para sahabat apabila berhadapan dengan urusan di luar kemampuan mereka untuk mengawal dan memahaminya, khususnya melibatkan urusan ghaib sama ada hal ehwal berkait kematian dan seumpamanya.

HANYA ALLAH 
YANG TAHU

Inilah keyakinan utama umat Islam berkait dengan perihal ghaib yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar insan, namun kita menyakini kewujudan dan ketetapan-Nya atas petunjuk wahyu.

Allah berfirman maksudnya: “Kunci pengetahuan mengenal hal-hal ghaib itu semua pada-Nya, tiada yang mengetahuinya kecuali Dia.” (al-An’am:59)

Allah juga mengarahkan utusan-Nya, Nabi Muhammad SAW supaya menyampaikan peringatan penting iaitu: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tiada siapapun yang berada di langit dan di bumi yang mengetahui akan hal-hal ghaib kecuali Allah!” (an-Naml: 65)

Malah, ketika Nabi ditanyakan tentang persoalan roh, Allah menurunkan ayat berikut ertinya: “Mereka bertanya kepada engkau mengenai (persoalan) roh. Katakanlah: Roh itu adalah urusan Tuhanku, sedangkan kalian tidak diberi pengetahuan mengenainya kecuali sedikit.” (al-Isra: 85)

Mereka juga bertanya kepada Nabi tentang bilakah kiamat, Allah sekali lagi mengingatkan dalam firman-Nya bermaksud: “Katakanlah: pengetahuan mengenainya hanya ada pada Tuhanku, tiada siapa yang dapat mendedahkan waktunya kecuali Dia.” (al-A’raf :187)

Rasulullah sendiri menyebutkan terdapat lima kunci pengetahuan bagi perkara ghaib, tiada sesiapapun yang mengetahuinya kecuali hanya Allah iaitu:

1. Tiada siapa tahu apa (yang berlaku) dalam rahim ibu.

2. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku esok.

3. Tiada siapa tahu bila hujan akan turun.

4. Tiada siapa tahu bila dia akan mati.

5. Tiada siapa tahu bila kiamat, kecuali Allah. - Riwayat Bukhari

TIADA JALAN LAIN

Jelas daripada petunjuk ini bahawa pengetahuan mengenai hal ghaib termasuk hal ehwal mengenai kematian, barzakh, masa hadapan, kiamat dan segala tandanya hanya diketahui Allah.

Malah, malaikat termasuk Jibril a.s., para rasul dan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahui apapun mengenainya kecuali apa yang Allah wahyukan kepada mereka.

Oleh kerana itu, ketika Malaikat Jibril bertanya kepada Nabi tentang kiamat, Nabi hanya mampu menjawab: “Tidaklah orang yang ditanya mengenainya lebih tahu berbanding orang bertanya!” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Ini kerana mereka berdua sama-sama tidak mengetahui hal ghaib. Namun, apabila Malaikat Jibril bertanya tentang tanda kiamat, Nabi mampu menyebutkannya dan Jibril memperakuinya kerana itu merupakan wahyu yang Allah sampaikan.

Dr. Samir Istitih ketika memberikan kata aluan bagi Kitab as-Sahih al-Ma’tsur fi ‘Alam al-Barzakh wal-Qubur (Nukilan Sahih tentang Alam Barzakh dan Kubur), karangan Syaikh Ahmad Mahmud Syawabkah, dia menyebutkan kaedah penting, katanya:

“Tiada jalan untuk mengetahui tentang hal ehwal berkait akhirat dan barzakh kecuali dengan apa yang telah Allah maklumkan dan apa Rasulullah sampaikan. Ini kerana ia melibatkan urusan ghaib yang kita beriman dengannya dan tiada cara untuk kita sampai kepada pengetahuan ini kecuali melalui penjelasan al-Quran dan riwayat sahih.”