Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah atau Lapangan Terbang Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah mula sibuk dibanjiri jemaah yang tiba ke tanah suci bagi mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Jemaah yang tiba dari luar negara mencapai bilangan tertinggi dan mencecah lebih dua juta orang.

Setinggi tahniah kepada jemaah Malaysia yang terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini oleh Lembaga Tabung Haji.

Sudah pasti kegembiraan yang teramat juga dirasai jemaah yang telah berada di Mekah dan menanti hari wukuf.

Kebanyakan daripada jemaah bersyukur sambil berdoa semoga hajat memperoleh haji mabrur menjadi kenyataan.

Pada masa sama, wartawan Utusan Malaysia dan wartawan beberapa agensi akhbar media cetak dan elektronik negara turut dijemput Tabung Haji bagi menunaikan ibadah haji dan terlibat dalam membuat liputan perkembangan jemaah dan petugas haji Malaysia di Mekah, Arab Saudi.

Antara mereka yang pernah terlibat ialah dua bekas Pe­ngarang Pemprosesan Kanan Utusan Malaysia, Mohd. Kamil Yusuff dan Marzuki Yusoff; Zulkeflee Bakar (Penolong Pengarang Utusan Malaysia); Rozaman Ismail (Penolong Pengarang Mingguan Malaysia); Ainol Amriz Ismail (Pe­ngarah Eksekutif Sibermedia Sdn. Bhd); Zulkifli Jalil (Pengarang Rencana).

Selain itu, Pengarang Mega, Nor Aziah Jaafar dan bekas wartawan Utusan Malaysia, Sopha Sulaiman turut berpeluang membuat laporan yang sama.

Pada tahun ini, Pengarang Pemprosesan Kanan Utusan Malaysia, Mohd. Ridzwan Md. Iman antara petugas media daripada Utusan Malaysia yang terlibat bersama Tabung Haji untuk melaporkan berita dari Arab Saudi.

Akhbar Utusan Online bertarikh 7 Julai 2018 memuatkan berita seramai 140 orang petugas haji termasuk 20 wakil media berlepas ke tanah suci bagi melaksanakan tanggungjawab memastikan perjalanan haji tahun ini berjalan lancar.

Bagi petugas media Utusan Malaysia, Nor Aziah Jaafar, pada tahun itu lebih ramai wartawan wanita berpeluang untuk membuat liputan.

“Membuat liputan haji me­rupakan tugasan luar negara paling bermakna sepanjang karier sebagai seorang wartawan.

“Terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji dan majikan, Utusan Melayu (M) Berhad kerana memberi kepercayaan ini,” katanya.

Memetik laporan Bernama bertarikh 17 Ogos 2018 bertajuk Lebih 800 media profesional asing buat liputan haji mela­porkan, Arab Saudi menjadi tuan rumah kepada lebih 800 media profesional dari luar negara untuk liputan haji musim ini

Adalah dijangka antara dua hingga tiga juta jemaah dari seluruh dunia akan berkumpul pada kemuncak ibadah tahunan ini dari 19-24 Ogos.

Menteri Penerangan Saudi Dr. Awad Saleh Al-Awad berkata, kerajaan berbangga menyediakan kemudahan kepada wartawan yang terlibat dari segi perkhidmatan, kemudahan dan tempat tinggal.

Beliau berkata, kementeriannya telah melengkapkan beberapa pusat media di Mekah dan tempat-tempat suci pada tahun ini untuk tetamu yang terdiri daripada wartawan dan media profesional dari dalam dan luar negara .

“Kerajaan juga menyediakan semua perkhid­matan yang diperlukan oleh media dari segi teknologi, rangkai­an komunikasi, komputer dan studio,” katanya kepada pemberita selepas beliau me­lawat Ibu pejabat Kementerian Radio dan Televisyen, Saudi Press Agency dan pusat maklumat di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Dikenali sebagai perhimpunan terbesar dunia, ibadah haji menyaksikan jemaah melaksanakan tanggungjawab mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah, melon­tar batu di tiga Jamraah dan Sai antara Bukit Safa dan Marwa.