Sejarah ini bukan hanya menjadi dekorasi dan disimpan dalam arkib tetapi mempunyai implikasi yang besar kepada negara.

Pertabalan ini adalah manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Pemilihan Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak berlaku di mana-mana negara lain selain Malaysia.

Ia hasil daripada pemilihan Raja-Raja Melayu pada 24 Januari lepas yang menyaksikan Seri Paduka menaiki takhta untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari lepas.

Seri Paduka menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu merupakan negara yang berdaulat. Negara-negara berdaulat ini dimiliki oleh rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing.

Oleh hal yang demikian, tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana baginda mempunyai jajahan mereka sendiri.

Malah, mewakili Negeri Sembilan, empat Dato Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Dato Undang di Negeri Sembilan turut mempunyai jajahan mereka sendiri.

Begitulah peri pentingnya kerajaan Melayu di Malaysia. Malah, kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai ‘kerajaan’ bukan ‘pemerintah’. Kalimah kerajaan mempunyai akar kata Raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura serta Indonesia.

KEUNIKAN PERLEMBAGAAN

Lantas Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif persekutuan terletak kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri atau pihak lain.

Perkara 39 ini menyatakan Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan. Manakala, peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Persekutuan Malaysia yang begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya tersendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu, namun mempertahankan institusi raja amat perlu.

Ini kerana, ia merupakan jati diri negara kita. Sistem semak dan imbang di Malaysia tidak hanya dijalankan oleh cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman tetapi raja turut berperanan.

Setiap pihak sama ada raja, rakyat mahupun pimpinan kerajaan perlu akur dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kemegahan dan gahnya institusi serta peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi yang diduduki.

Rata-ratanya rakyat Malaysia amat taat kepada raja sehinggakan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sentiasa meniti terutama dalam hati masyarakat Melayu.

Jangan sesekali mencemarkan institusi Raja-Raja Melayu apatah lagi ia dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Ironinya ada yang mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu, tetapi tidak malu-malu pula apabila menerima anugerah dari Raja-Raja Melayu.

Raja dan rakyat berpisah tiada. Ia bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahan raja.

Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu. Yang di-Pertuan Agong yang baharu dipilih ini telah menzahirkan keakraban bersama rakyat apabila baginda acapkali mengabaikan protokol diraja semata-mata bagi bersama rakyat.

PERTAHAN KEDAULATAN ISLAM

Sebagai ketua agama, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa. Raja-Raja merupakan benteng terakhir umat Islam dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat ini perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan raja.

Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah kebebasan yang mutlak. Ia boleh dan telah disekat oleh undang-undang. Rakyat bebas mengeluarkan pandangan dan mengkritik tindakan Raja-Raja Melayu, begitu juga memujinya.

Namun pandangan dan kritikan tersebut perlulah disulami dengan nilai ketimuran dan adab sopan dan tidak mencemarkan kemuliaan institusi Raja itu sendiri.

Malah, Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan khusus sekiranya mana-mana orang yang tidak berpuashati terhadap perlakuan peribadi mana-mana Raja-Raja Melayu sama ada dalam kes jenayah atau kes sivil boleh membawa tindakan tersebut ke Mahkamah Khas menurut Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan. Raja-Raja juga boleh memulakan tindakan terhadap mana-mana orang melalui peruntukan yang sama.

Hakikatnya kebebasan tersebut tidak disalurkan untuk bercakap bohong memfitnah atau menghasut khususnya terhadap Raja-Raja kerana ia mempersoalkan kewibawaan dan kemuliaan satu elemen penting dalam negara. Sewajarnya tindakan segera diambil terhadap mereka yang berbohong, memfitnah atau menghasut sebegini.

Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita pertahankan jati diri negara ini. Jangan alihkan institusi Raja-Raja Melayu dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain.

Berbalik kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas kuasa eksekutif yang sebenarnya terletak kepada Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, hakikatnya bagindalah pemerintah sebenar kepada negara manakala jemaah menteri hanya menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan kepada mereka.

Namun, ramai yang berhujah oleh kerana Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat, maka jemaah menteri berkuasa mentadbir negara.

Hal ini terjadi kerana, ramai yang masih terikat dengan tafsiran nasihat sebagai wajib diikuti sebagaimana nasihat Residen British dahulu kepada Raja-Raja Melayu.

Oleh kerana kita sudah begitu lama merdeka, tafsiran sebenar perkataan nasihat perlulah ditafsirkan mengikut makna bahasanya yang sebenar bukan mengambil pendekatan sebelum merdeka. Ini adalah disebabkan kedudukan dan penghormatan kepada Raja-Raja Melayu sebelum dan selepas merdeka adalah berbeza.