“Betul tu. Kalau tak booking awal, mesti penuh. Pernah aku ke sana tanpa booking, last-last balik semula sebab dah penuh,” sampuk seorang lagi temannya yang agak berusia.

Daripada perbualan mereka yang hanya berkisar kepada cerita-cerita golf, boleh disahkan bahawa mereka ini ‘kaki golf’, cuma tidak dapat digambarkan berapakah handikap mereka dan sudah berapa lama mereka bermain golf. Tetapi biarlah, itu urusan mereka. Cuma, apabila mereka menyebut Kelab Golf Tasik Puteri, penulis terfikir…apakah tarikan yang ada di kelab golf tersebut?

Memenuhi tuntutan untuk mengetahui rahsianya, penulis berkesempatan berkunjung dan bermain golf di Kelab Golf Tasik Puteri bersama tujuh teman lain. Mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur tanpa halangan trafik, kami sampai kira-kira pukul 7.20 pagi.

Ketibaan kami disambut mesra oleh Pengurus Operasi Golf Tasik Puteri, Johan Rosli yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam pengurusan operasi golf. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa kelab golf terkemuka di Selangor.

Selepas mengharungi 27 lubang, kami akui Kelab Golf Tasik Puteri memang lain daripada yang lain. Dengan lapangan yang luas dan panjang di Tasik Nine, Puteri Nine dan Putera Nine, dihampari pula dengan rumput jenis Greenless Park (GLP) di fairway dan Bermuda tifdwarf di green yang rata dan agak licin, tidak hairanlah ramai pemain golf gemar bermain di sini.

Jika tee off anda tersasar dari lapangan dan trek buggy, usah khuatir untuk berjalan mencari bola kerana di Kelab Golf Tasik Puteri anda boleh memandu buggy masuk ke dalam padang sehingga menghampiri ke tempat bola berada. Pendek kata, anda pasti tidak akan penat bermain di sini.

Satu lagi yang menarik, kelab golf ini turut menyediakan perkhidmatan jumbo flight kepada pemain yang ingin bermain secara beramai-ramai iaitu enam orang untuk satu flight. Permainan untuk jumbo flight dibolehkan pada setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum sebelah pagi. Jumbo flight pada Sabtu dan Ahad atau cuti umum hanya dibolehkan pada sebelah petang.

Yang lebih menceriakan, perkhidmatan seramai 80 orang kedi tempatan dan luar negara iaitu dari Medan, Indonesia yang berpengalaman dan mesra, memberi kepuasan bermain golf di sini. Mungkin inilah rahsia mengapa kelab golf ini sentiasa mendapat tempat di hati para pemain golf.

Layanan profesional kedi-kedi di kelab golf ini juga seolah-olah menggambarkan pemain mempunyai kedi sendiri. Maka tidak hairanlah nama Kelab Golf Tasik Puteri cukup gah dalam kalangan pemain golf bukan sahaja dalam negara bahkan dari Jepun, Korea dan Eropah.

Kelab Golf Tasik Puteri yang terletak di Rawang, Selangor disediakan khusus untuk orang awam yang hanya mengambil masa 30 minit pemanduan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur. Terletak 36 kilometer bermula dari Tol Jalan Duta, 30 kilometer (Tol Damansara Utama) dan 30 kilometer (Tol Bukit Jelutong).

Direka oleh Pengurusan Golf Australia, padang golf 27 lubang – Puteri Nine, Putera Nine dan Tasik Nine yang mempunyai karektor berbeza dan mencabar ini menampilkan beberapa lubang tertentu sebagai ‘memiliki keunikan’ dan fairway yang menarik dikelilingi kehijauan alam semula jadi yang tenang dan mendamaikan.

Padang golf yang direka dengan indah ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, driving range, golfer terrace, bilik persalinan dan ProShop serta kemudahan lain seperti dua dewan pelbagai guna dan bilik VIP untuk privasi eksklusif.

Bagi pemain yang datang dari jauh, Kelab Golf Tasik Puteri turut menyediakan penginapan iaitu Villa Puteri yang menawarkan 12 bilik mewah pada harga RM200 untuk satu malam dan RM160 bagi mereka yang menjadi ahli kelab.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi +603-60344721 atau layari laman sesawang www.tasikputerigolf.com.