Justeru, tidak hairan sekiranya ada peminat mahu menjadi seperti artis kesayangan mereka yang telah meraih kejayaan dan pencapaian membanggakan selain bijak dalam berfesyen. Tidak hairanlah ada peminat tegar mahu bergaya seperti idola mereka.

Namun, untuk bergaya seakan selebriti agak mustahil kerana memerlukan perbelanjaan besar yang pastinya tidak mampu bagi kebanyakan orang.

Menyedari itu, pemilik Starvillion, Zeeilen Yusnita Abd. Jalil, 34, mengasaskan perniagaan yang menjadi hab fesyen selebriti dengan himpunan jenama pakaian selebriti tanah air yang boleh dibeli orang ramai pada harga mampu milik.

Katanya, dia mahu memberikan pengalaman dan peluang kepada peminat-peminat selebriti tempatan untuk bergaya dan berfesyen sama seperti idola mereka tanpa perlu ‘menge–ringkan poket’.

“Kita asaskan Starvillion sebab kita mahu bagi semua orang tahu yang mereka juga berpeluang untuk bergaya seperti selebriti dan semestinya pada harga mampu milik.

“Kita menghimpunkan pelbagai jenama fesyen dan pakaian daripada artis itu sendiri dan kita bawakan kepada peminat-peminat mereka untuk memiliki rekaan fesyen daripada artis-artis kesayangan mereka,” katanya kepada Mega Rona.

Perniagaan yang diasaskan bersama suaminya, Mohamad Farid Omardin, 35, sejak setahun lalu kini mempunyai koleksi lebih daripada 20 selebriti tempatan mewakili 17 jenama yang semakin menempa nama dalam industri fesyen tempatan.

Antara selebriti terlibat ialah Kamal Adli, Jihan Muse, Farah Nabilah, Uqasha Senrose, Nelydia Senrose, Wany Hasrita, Hisyam Hamid dan ramai lagi.

Tambahnya, dia juga mahu memberi lebih banyak pilihan fesyen baju bersaiz besar dengan harga mampu milik khusus untuk peminat fesyen tempatan.

“Selalunya bagi kami yang berbadan besar agak susah untuk mencari baju yang ‘berfesyen’ kerana kebanyakannya dibuat dalam ukuran saiz yang kecil.

“Dari situ, saya terinspirasi untuk memiliki perniagaan sendiri yang menyediakan baju-baju yang berfesyen dari ukuran saiz kecil hingga besar,” katanya.

Berkongsi pengalaman, dia berkata, rahsia kepada kejayaan sesebuah perniagaan adalah sabar dan belajar tanpa mengenal erti jemu serta berbekalkan minat yang mendalam untuk terus mengembangkan perniagaan.

Tegasnya, latar belakang pendidikan bukan satu halangan untuk seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang diminatinya kerana kejayaan mampu digapai sekiranya seseorang itu menggiatkan usaha bagi mencapai keinginan.

“Bagi saya, minat adalah segala-galanya. Bila kita ada minat, kita boleh berjaya walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan.

“Yang penting kita harus sentiasa belajar, sentiasa bertanya dan jangan malu untuk mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang perhubungan antarabangsa dari sebuah universiti di United Kingdom.

Selain itu kata Zeeilen Yusnita, segala cabaran dan dugaan dalam perniagaan adalaj perkara biasa yang harus dihadapi oleh pemain industri dalam pelbagai bidang perniagaan.

“Seperti biasa masalah komunikasi atau produksi akan sering berlaku iaitu kadang-kadang barang sampai cepat, kadang-kadang lambat.

“Tetapi saya dan suami ada matlamat yang kami sasarkan untuk capai dalam setiap perkara yang kami lakukan,” katanya lagi.