“Gadis-gadis bertudung yang mahu bergaya terpaksa memakai pakaian berlapis-lapis kerana pakaian yang mengikut trend fesyen di pasaran kebanyakannya tidak mengikut syariat Islam.

“Oleh itu, saya bertekad menyediakan pakaian Muslimah yang selesa untuk mereka yang bertudung pada harga berpatutan.”

Demikian bicara Farah Ilyana Khairuddin ketika ditemui Mega Rona di ibu pejabat Cala Qisya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Turut berdepan dengan pelbagai skeptikal perniagaan ketika itu, ada sesetengah pembekal pakaian tidak mahu berurusan dengan penjual pakaian online seperti mereka, membuatkan mereka terpaksa meyakinkan pembekal berkali-kali tentang kesediaan mengambil stok dalam jumlah yang banyak.

Pakaian yang ditawarkan juga tidak memenuhi kriteria patuh syariah yang diingini membuatkan mereka berusaha mencari tukang jahit borong yang mampu menghasilkan rekaan yang mempunyai nilai komersial dan moden tanpa meninggalkan syariat Islam.

Pada 2012, Cala Qisya berjaya mengeluarkan rekaan busana pertama iaitu Kimono Wrap dan pada masa yang sama, menyertai pelbagai bazar pada setiap hujung minggu bagi mempromosikan jenama mereka.

Ujarnya, kemunculan laman sosial Facebook, Twitter, dan Instagram memudahkan proses pengiklanan kerana dengan jumlah pengikut yang ramai, setiap pakaian dapat dipasarkan menepati khalayak sasaran.

Berbekalkan semangat yang tinggi, butik fizikal pertama Cala Qisya turut dibuka pada tahun yang sama.

Turut disertai adik mereka Farah Azrina Khairuddin, 25, yang mengambil posisi sebagai Pengarah Kreatif, dengan modal yang kecil, ketiga-tiga beradik ini membawa barang dari rumah dan menggunakan barangan terpakai bagi menjimatkan kos pengubahsuaian butik.

Bermula di tingkat tiga kemudian beralih ke tingkat dua seterusnya memiliki kedai di bahagian bawah, kini segala penat lelah menumpahkan seluruh tenaga dan kreativiti untuk Cala Qisya akhirnya membuahkan hasil apabila mereka mampu membuka empat butik fizikal iaitu di Shah Alam, Ipoh, Johor Bharu dan terbaharu di Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Farah Mislina Khairuddin mengakui bukan mudah untuk mereka berada pada tahap sekarang kerana pelbagai dugaan dan cabaran perlu ditempuh. Meskipun bermula tanpa ilmu berniaga, namun mereka adik-beradik tetap bersemangat dalam membangunkan jenama itu sehingga dikenali.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang formal dalam bidang fesyen, kekangan itu tidak sesekali membataskan rekaan mereka untuk menghasilkan busana terkini.

Kata Farah Mislina, untuk kekal dalam industri selain kesungguhan dan ilmu, mereka perlu mempunyai minat mendalam terhadap fesyen.

“Sudah lapan tahun dalam industri, kami teguh dengan pendirian bahawa Cala Qisya hanya menawarkan pakaian longgar, patuh syariah, sopan, namun kekal moden mengikut perkembangan semasa.

“Walaupun ada yang mengkritik bahawa baju kami terlalu besar dan longgar untuk sesetengah orang, kami menerima pandangan tersebut dan mengubah ukuran mengikut saiz badan wanita Malaysia yang kebanyakannya bertubuh kecil.

“Dari segi rekaan, kami tidak berkompromi dengan konsep patuh syariah, namun kami juga kini terbuka dalam menawarkan sesuatu rekaan dalam perlbagai gaya kerana telah menerima pelanggan dalam kalangan bukan Islam,” katanya yang merupakan lulusan kejuruteraan mekanikal.

Berusaha menjadikan Cala Qisya sebagai pencetus fesyen dalam setiap rekaan terbaharu, mereka juga masih mengikuti perkembangan fesyen dan tidak menolak rekaan semasa yang sentiasa mempunyai pasaran tersendiri.

Sebagai usahawan bumiputera untuk berada setanding dengan jenama antarabangsa bukanlah mudah kerana masih banyak pihak yang tidak mengenali jenama ini, maka ada yang keberatan untuk memberikan ruang berniaga yang besar.

Namun itu tidak menghalang hasrat mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka di dalam pusat beli-belah, buktinya mereka berjaya mendapat kedai pop-up di Mytown, Cheras sebagai permulaan.

Katanya, mereka perlu membuktikan terlebih dulu kejayaan kedai itu kepada pihak pengurusan sebelum ditawarkan sebuah butik dan ternyata mereka tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikannya.

Setiap kali rekaan baharu dikeluarkan, peminat-peminat akan memenuhi kedai tersebut, bahkan sanggup beratur panjang demi mendapatkan busana Cala Qisya, barulah mereka percaya dan yakin terhadap jenama tempatan itu.

Kumpul dana bantu pesakit kanser

MEMBINA sebuah perniagaan keluarga, tiada yang lebih membahagiakan apabila dapat berkongsi minat yang sama untuk membangunkan perniagaan dan berkongsi rezeki dengan darah daging sendiri.

Memiliki perwatakan berbeza bahkan masing-masing mempunyai ‘kepala’ sendiri, bercanggah pendapat adalah perkara biasa.

“Kami adik-beradik mempunyai tugas masing-masing seperti saya mengetuai bahagian akaun dan kewangan, Yana (Farah Ilyana) pula bertindak sebagai ketua pegawai eksekutif, manakala (Farah) Azrina selaku pereka fesyen mengetuai bahagian kreativiti.

“Tipulah kalau tak bergaduh tetapi akhirnya kami akan sependapat dalam apa-apa isu. Kami percaya kepada keberkatan dalam perniagaan, kalau bergaduh lebih daripada tiga hari malaikat pun tak nak masuk rumah kita, jadi macam mana nak berniaga kalau tidak ada berkat.

“Alhamdulillah apa yang ka­mi adik-beradik usahakan berjaya atas sokongan keluarga dan orang sekeliling. Suami saya dan Yana juga menyertai Cala Qisya dan insya-Allah perniagaan ini akan diteruskan oleh anak-anak kami pula suatu hari nanti,” kata Farah Mislina yang ingin Cala Qisya dikenali sebagai pengeluar pakaian tidak perlu digosok.

Selain busana wanita, jenama itu juga memperkenal rangkaian busana lelaki, kanak-kanak, kasut, aksesori, produk mandian serta wangian, makanan dan bakal memperkenal produk rambut dalam masa terdekat.

Tidak mahu mengejar keuntungan semata-mata, jenama itu juga memberi fokus terhadap kerja kemasyarakatan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk menyumbang kembali kepada golongan yang memerlukan.

Pihaknya memperkenal kempen Stronger Together sejak tiga tahun lalu bagi membantu mengumpul dana untuk membantu dan meringankan beban pesakit kanser payudara dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hospital.