Mengikut sejarah, kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Justeru, pemakaian songket melambangkan kekayaan.

Hari ini pemakaian songket tidak hanya tertumpu pada pakaian sahaja, sebaliknya digunakan secara meluas dalam aksesori fesyen.

Melalui corak dan motif yang lebih kontemporari, Nurul Wahidah Mustafa, 28, mahu memartabatkan industri songket ke pentas fesyen tanah air dan antarabangsa dengan rekaan pelbagai jenis beg.

Lain daripada yang lain, beg tangan songket memiliki keistimewaan tersendiri dan boleh digayakan dalam pelbagai majlis rasmi atau kasual.

Nurul Wahidah yang meminati bidang jahitan mendapat ilham untuk menghasilkan beg songket selepas rekaan pertamanya menerima maklum balas positif daripada pelanggan.

“Pada asalnya, saya jual beg daripada kain kapas (cotton). Entah bagaimana, seorang pelanggan memberi pandangan agar saya mencipta beg daripada songket.

“Kebetulan di rumah terdapat lebihan kain songket hasil jahitan emak. Saya menjahit menggunakan lebihan kain tersebut, kemudian cuba menjualnya di Carousell. Ternyata beg songket ada permintaan,” katanya kepada Mega Rona.

Tambahnya, terdapat pelbagai jenis kain songket di pasaran seperti tenunan asli, Pakistan, India dan sebagainya untuk pilihan pembeli.

“Jika untuk beg siap dipakai (ready made), saya akan menggunakan material songket Pakistan kerana kualitinya yang baik serta berbaloi dari segi harga. Namun jika terdapat tempahan, saya akan mengikut cita rasa pembeli dari segi material, warna dan corak kain,” tambahnya.

Dia membuat banyak penyelidikan berkaitan kain songket selain dapat membeli kain itu daripada pengedar pada harga berpatutan.

Buat masa ini, Nurul Wahidah menghasilkan beg clutch, beg tangan, dompet duit syiling dan beg solekan.

“Saya bercadang menghasilkan tali leher bermotifkan songket dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Dia yang pernah bekerja dalam bidang pelancongan selama setahun sebelum memutuskan untuk aktif dalam industri beg songket berharap hasil kerjanya dapat dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan. Ini kerana songket merupakan salah satu fabrik warisan agung negara.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan sentuhan Nurul Wahidah boleh mengunjungi laman Instagramnya di weezhandmade.my untuk mendapatkan pelbagai jenis beg songket pada harga serendah RM59.