Puluhan ribu yang menghantar permohonan untuk memasuki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tetapi hanya beberapa ribu sahaja diterima.

Kajian mendapati bahawa setiap mahasiswa yang berjaya ke menara gading telah menafikan empat permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) yang lain.

Ini jelas menunjukkan bahawa insan yang terpilih ke UA merupakan insan yang benar-benar terpilih.

Kerajaan telah memperuntukkan bajet terbesar setiap tahun dalam bidang pendidikan. Subsidi pendidikan pula disalurkan secara terus sebanyak 90% daripada keseluruhan kos pengajian.

Beruntungnya mahasiswa pada hari ini kerana hanya perlu membayar 10% sahaja daripada kos asal pengajian.

Sebagai seorang pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal dan pembuatan di sebuah unversiti awam di selatan Malaysia, saya hanya membayar RM7,040 daripada jumlah asal yang bernilai RM106,000.

Pada tahun 2010, kerajaan memperuntukkan sekitar lebih RM8.5 bilion untuk subsidi yuran mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Malaysia. Saban tahun jumlah itu meningkat.

Justeru, sebagai seorang rakyat Malaysia kita harus bersyukur dengan segala kemudahan dan kelengkapan yang diberikan oleh kerajaan.

Kerajaan pada hari ini sentiasa menghidangkan sesuatu yang terbaik terutama di dalam pendidikan di Malaysia.

Oleh yang demikian, sebagai mahasiswa kita harus memberikan sokongan yang jitu kepada kerajaan agar segala nikmat yang kita kecapi pada hari ini akan terus dinikmati oleh anak cucu kita kelak.