Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut mendukung cita-cita tersebut, ditambah lagi, dengan penerapan nilai integrasi ilmu naqli dan aqli, untuk tampil dengan model graduan Generasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA).

USIM memandang lebih jauh dan mahu mencapai takah baru dalam pelestarian impian PPPM 2016-2025 dan GIINA, lantas memulakan kempen wakaf dalam kalangan warganya.

Belajar daripada Harvard

Kita bercita-cita menjadi pusat rujukan kecemerlangan dunia dalam pelbagai bidang dan antara contoh yang baik untuk diteladani ialah Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Ada dua perkara yang kita boleh belajar daripada Universiti Harvard iaitu: (1) prestasi kecemerlangan akademik, dan (2) kemampanan kewangan universiti.

Tiada yang boleh menafikan kecemerlangan Universiti Harvard melahirkan tokoh ilmuan hebat yang menyumbang secara langsung untuk masyarakat dunia sehingga ramai penerima anugerah Nobel atau Nobelaurate.

Perkara kedua yang jarang kita ketengahkan ialah kekuatan kewangan Universiti Harvard itu sendiri yang menjadi sumber utama pembiayaan kajian dan penyelidikan universiti tersebut.

Suatu yang sangat mengagumkan ialah sumber kewangan terbesar Universiti Harvard datang daripada sumber bersifat endownment atau wakaf.

Setakat 2016, jumlah wakaf yang terkumpul oleh Universiti Harvard bernilai AS$36.4 bilion dan aset ini diurus oleh HMC Inc., sebuah syarikat pengurusan pelaburan milik universiti itu sendiri.

Jumlah aset yang besar itu dimanfaatkan untuk kegunaan infrastruktur, kajian dan kegiatan universiti. Memandangkan universiti mampu berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana geran dan institusi luar, mereka mampu menggerakkan sebarang agenda dengan lancar dan berkesan.

Visi wakaf USIM

Dengan visi melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya saing, dalam masa yang sama membangun kampus barakah, USIM kini menumpukan usaha membina kekuatan dana wakaf yang tersendiri bagi membina infrastruktur dan mendanai penyelidikan serta pengajian pelajarnya.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bekerja rapat dengan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, bagi mempromosikan projek wakaf dalam kalangan warga USIM.

Sekiranya tiada aral melintang, tiga projek wakaf akan dilancarkan meliputi pembinaan hospital dan hotel, kolej kediaman pelajar dan laluan pejalan kaki berbumbung di sekitar kampus.

Untuk jangka masa panjang, Pengarah Pusat Wakaf, Prof. Madya Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail, menyatakan dalam satu sesi perbincangan bersama MPP  bahawa dana wakaf terkumpul akan dibelanjakan sepenuhnya dan sebaik-baiknya.

Sekiranya perancangan jangka masa panjang ini berjaya, pembangunan USIM boleh melangkah lebih pantas dan jauh.

Wadah pematangan rohani

Melihat lebih dalam, wakaf di USIM bukan semata-mata soal wang dan pembangunan fizikal, bahkan meliputi pematangan rohani.

Inilah latar Kampus Barakah yang diimpikan terdiri di USIM - sebuah universiti yang warganya berpegang kepada budaya santun dan proaktif, seimbang dan matang.

Budaya yang tidak terhenti kepada bidang keilmuan dan budaya kerja semata-mata, lebih daripada itu termanifestasi dalam amalan berbelanja yang menitikberatkan hal ehwal amal jariah; wakaf.

Ini akhirnya, menjadi elemen fundamental dan roh suasana kerja dan pembelajaran di universiti; barakah.

Pendidikan wakaf untuk warga USIM berhasrat melahirkan pemikiran sedar yang sentiasa bersedia untuk membelanjakan sedikit wang demi manfaat yang lebih luas dan berkekalan.

Ini disokong dengan pengurusan dana wakaf yang efisien iaitu dengan membelanjakan dana wakaf secara berhemat untuk projek berimpak besar dan telus.

Melahirkan warga yang sukarela berbelanja demi manfaat orang lain merupakan perkara yang diperlukan demi membina negara bangsa maju dan berminda kelas pertama.

Rakyat Malaysia yang sedia untuk mengorbankan sedikit kesenangan diri sendiri demi tujuan yang lebih besar; agama, bangsa dan negara.

Menjelang perealisasian Transformasi Nasional 2050 (TN50), diharap USIM mampu menjana dan menguruskan dana wakaf setanding Universiti Harvard.

Di ketika itu juga, kita mahu menghasilkan penyelidikan dan graduan setanding mereka atau mungkin lebih lagi; melahirkan kecemerlangan berjiwa manusiawi atau excellence with a soul.

Kita kaya dengan potensi dan potensi itu sedang digerakkan. Maka, ayuh bersama memberdaya potensi.

PENULIS ialah pelajar Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang yang juga Naib Yang Dipertua III MPP USIM.