Saya berharap parti yang bertanding dalam PRU-14 akan dapat terus mengekalkan kematangan politik bermula dari tarikh pembubaran, proses penamaan calon, semasa berkempen dan hari pengundian.

Pastinya, sepanjang tempoh berkenaan akan menyaksikan pelbagai ragam dan peristiwa yang mewarnai proses pilihan raya di negara ini selepas 61 tahun mencapai kemerdekaan.

Yang pasti, bukan sahaja para pengundi semakin matang untuk membuat keputusan malah lebih penting lagi ialah calon-calon perlu menunjukkan kematangan ketika berkempen.

Setiap calon mesti mematuhi peraturan serta etika berkempen supaya kelak pilihan raya yang dilangsungkan di negara ini berjalan dengan lancar.

Golongan belia pastinya tidak mahu ada insiden-insiden yang tidak sepatutnya mencalar proses pelaksanaan demokrasi di negara ini.

PRU-14 seharusnya menjadi petunjuk mentaliti rakyat Malaysia yang semakin bijak menggunakan pendekatan bersesuaian untuk memenangi hati pengundi.

Memburuk-burukkan calon lawan, mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun terbukti bukan pendekatan yang digemari pengundi. Kempen yang diselang-selikan dengan kesemua unsur itu juga bukan melambangkan budaya rakyat Malaysia justeru tidak sepatutnya ditonjolkan ketika berkempen.

Lagipun bukankah dengan menonjolkan sikap sedemikian cukup untuk memberi gambaran betapa buruknya sikap calon itu sendiri, sekali gus mengurangkan ruang untuk mereka di hati pengundi.

Saya juga ingin menarik perhatian dan peringatan kepada mereka yang tidak terpilih. Mereka ini juga perlu berlapang dada dan matang.

Janganlah bertindak mensabotaj parti masing-masing. Mereka jangan cuba membuat onar dengan cuba mensabotaj kempen-kempen parti dengan menyebar fitnah terhadap calon-calon yang terpilih atau menjadi calon bebas.

Kadangkala mereka yang tidak terpilih inilah menjadi penyebab kepada kekecohan semasa musim PRU-14 ini! Tidak rugi belajar untuk setia dalam pasukan!

PENULIS ialah  Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM).