Gabungan BN yang terdiri daripada 13 komponen parti kini dinilai sememangnya sedang berhadapan dengan ‘gelombang perubahan rakyat’ apabila empat buah parti utama pembangkang iaitu DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sanggup bergabung sehinggakan menggunakan logo yang sama untuk berhadapan dengan BN.

Pas selaku parti pembangkang yang paling senior memutuskan untuk tidak bergabung bersama PH dan membentuk Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), namun lebih bertindak seperti gabungan yang berkecuali hasil tinjauan daripada pernyataan-pernyataan pemimpin Pas di media cetak mahupun media elektronik. 

Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan BN yang akan berakhir pada 24 Jun 2018 telah dipercepatkan pembubarannya apabila teka-teki orang ramai dijawab pada 6 April 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada 7 April 2018 setelah mendapatkan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. 

Pembubaran tersebut adalah selaras dengan Peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, yang mana Perdana Menteri menasihati Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali bagi Sarawak untuk menghadap sultan, raja atau Yang Dipertua Negeri untuk memperolehi persetujuan mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri masing-masing dengan tujuan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan pilihan raya di semua negeri secara serentak kecuali Sarawak yang telah dilaksanakan peringkat DUN pada 7 Mei 2017.

‘Bapa Segala Pilihan Raya’ seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri bagi PRU-14 ini telah mula disebut terutamanya apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M)  memutuskan untuk bertanding dan menghadapi BN dan ketika proses persempadanan semula dilakukan pada Mac 2018 yang telah dipersetujui oleh 129 ahli Parlimen berbanding 80 yang menolak usul tersebut. 

Sebagai rekod, kali terakhir persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan adalah pada 2003 yang ketika itu melibatkan PRU-11, PRU-12 dan PRU-13.  Persempanan pada kali ini tidak melibatkan penambahan sebarang kerusi Parlimen yang kekal pada bilangan 222 kerusi dan DUN sebanyak 587 kerusi. 

Pihak pembangkang mendakwa persempadanan semula 2018 ini akan mewujudkan kerusi ‘Super Cina’ dan ‘Super Melayu’ terutamanya di kawasan Kuala Lumpur yang sudah pastinya akan memberikan kelebihan kepada BN. 

Bagi penulis, persempadanan semula ini hanyalah satu bentuk proses pilihan raya yang dilakukan bergantung kepada jumlah pengundi yang diwakili, sekiranya sesebuah parti politik mahupun calon itu adalah berwibawa, letak dimana jua pasti akan menang.    

Pertembungan antara nama-nama terkemuka politik tanah air pada PRU-14 bukanlah tertumpu kepada nama-nama besar daripada UMNO, Pas dan DAP seperti PRU sebelum ini.  Pada pandangan penulis, PRU-14 adalah pertembungan di antara pengikut UMNO dan mantan penyokong UMNO itu sendiri. 

Aura kepimpinan Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri bersama barisan ‘Jeneral Politik’ seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaludin sedang berhadapan dengan seorang yang pernah menjadi nakhoda kepada kebanyakan pemimpin UMNO ketika ini iaitu Tun M yang disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di samping pimpinan DAP - Lim Guan Eng, pimpinan PKR - Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali, pimpinan mantan ‘Jeneral Perang Pas’ - Muhamad Sabu dan Salahudin Ayub. 

Pergolakan dalam politik tanah air bukanlah jarang berlaku. Ini kerana saban pilihan raya, sudah pastinya terjadi pergolakan dalaman parti politik yang bertanding. 

Hasil penyelidikan melalui data sekunder, penulis mendapati pergolakan dalaman banyak berlaku antaranya akibat perebutan kerusi melibatkan komponen Parti Perikatan iaitu UMNO, MCA dan MIC; isu peletakan jawatan Presiden UMNO Dato Onn Jaafar sehinggakan menubuhkan Parti Negara; dan krisis dalaman MCA apabila Lim Chong Eu mencabar Presiden MCA Tan Cheng Lock, yang menyaksikan Chong Eu menang dengan kelebihan 22 undi. 

Situasi pergolakan dalaman ini secara kasarnya menunjukkan kesefahaman komponen Parti Perikatan masih berada di tahap goyah, kerana masing-masing terlalu memperjuangkan bangsa, budaya dan bahasa etnik.

Pada pilihan raya sekitar 1960an pula, pergolakan dalam MCA berlaku sekali lagi apabila Chong Eu memutuskan untuk menubuhkan United Democratic Party (UDP).  Namun undi sokongan masih berpihak kepada Parti Perikatan apabila isu ‘Ganyang Malaysia’ yang terjadi pada era Presiden Sukarno di Indonesia telah sedikit-sebanyak mengalihkan isu dalaman Parti Perikatan kepada isu nasionalisme rakyat untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada. 

Namun demikian, slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang dilaungkan oleh DAP telah disambut baik terutamanya oleh pengundi Cina seiring dengan fahaman ‘free, democratic and socialist Malaysia based on the principles of racial equality and social and economic justice’.  

Tempoh kempen yang panjang iaitu selama 35 hari seperti yang tertera di Jadual 1, telah menyebabkan Parti Perikatan hanya berjaya menguasai 74 kerusi Parlimen berbanding parti pembangkang yang  menguasai 70 kerusi Parlimen. Keputusan ini berakhir dengan insiden antara kaum apabila berlakunya saling menghina, saling tidak puas hati dan saling mengagungkan bangsa tertentu. 

Keadaan ini sudah pastinya menjadi pengajaran yang paling besar kepada pihak kerajaan. Sejarah membuktikan bahawa sentimen Raja Melayu, agama, bangsa, budaya dan bahasa tidak seharusnya diperbincangkan secara terbuka. 

Peristiwa hitam tersebut telah menyebabkan Tun Razak menubuhkan BN untuk tujuan memperbaiki keadaan ekoran insiden kaum yang berlaku.  Penubuhan BN bersama parti pembangkang seperti Pas dan Gerakan sememangnya tindakan bijak apabila menghasilkan kesepakatan sehingga berjaya memenangi 135 kerusi Parlimen daripada 154 kerusi yang dipertandingkan pada PRU 1974. Undi popular BN juga meningkat kepada 60.7 peratus berbanding pada PRU 1969 apabila Parti Perikatan hanya memperoleh 48.41 peratus.  Kemenangan ini bukan sahaja telah menunjukkan bahawa kesepakatan BN membuahkan hasil, tapi juga membuktikan bahawa keamanan dan kestabilan negara menjadi pilihan majoriti rakyat setelah berlakunya Peristiwa Hitam selepas PRU 1969.

Namun demikian, PRU 1974 secara tidak langsung menyebabkan UMNO terpaksa mengorbankan beberapa kerusi yang ditandingi kepada Pas, manakala MCA pula terpaksa mengorbankan beberapa kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina kepada Gerakan. 

Walaupun pada peringkat awal MCA berkeras untuk menuntut tambahan kerusi  tetapi terpaksa beralah apabila gagal membuktikan prestasi sokongan pengundi Cina pada PRU sebelumnya.  Persefahaman di antara Pas dan BN pula tidak berpanjangan apabila tidak lagi bersama pada PRU 1978.   

PRU dalam tahun 1980an menyaksikan krisis dalaman di antara parti politik yang mewakili kaum Cina apabila MCA dan Gerakan masing-masing tidak bersetuju dengan bilangan kerusi yang akan ditandingi pada PRU 1982. 

Pergolakan dalaman parti MCA juga berlaku apabila Presidennya, Datuk Dr. Neo Yee Pan ditentang oleh  Dr. Tan Koon Swan pada 1983.  Kemenangan Koon Swan sebagai Presiden MCA tidak sampai setahun, iaitu dari November 1985 hingga September 1986 berikutan dakwaan berhubung kejatuhan syarikat Pan-El.

PRU 1990an pula menyaksikan krisis dalaman UMNO.  Pertembungan di antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO telah menyebabkan parti itu bukan sekadar diharamkan, namun sebahagian besar ahlinya telah menyokong parti Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh.  Perpecahan ini secara tidak langsung telah memecahkan undi Melayu dalam PRU. 

Krisis dalaman UMNO berlaku lagi pada 1998 ekoran pemecatan Anwar  yang bukan sahaja menyebabkan perpecahan UMNO, tetapi juga perpecahan orang Melayu secara keseluruhannya.  Krisis dalaman UMNO itu telah menyebabkan Pas, DAP, PRM dan PKR bergabung sebagai Barisan Alternatif bagi menghadapi PRU 1999. 

Kepemimpinan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri baharu telah memberikan hasil yang cemerlang kepada BN apabila berjaya memenangi 90 peratus kerusi Parlimen iaitu sebanyak 199 kerusi daripada 219 kerusi yang dipertandingkan.  Namun kemenangan besar ini tidak lama apabila PRU 2008 menyaksikan swing votes berlaku sehingga parti pembangkang berjaya menguasai negeri seperti Kedah, Kelantan Pulau Pinang, Perak, W.P. Kuala Lumpur dan Selangor. 

Jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU 2004 telah merosot kepada hanya 140 kerusi.  Kekalahan teruk ini dilihat berpunca daripada kelemahan pentadbiran Abdullah itu sendiri di samping menerima banyak kritikan daripada Tun M. 

Walaupun teraju utama pimpinan BN diserahkan kepada Najib pada PRU 2013, namun sokongan pengundi tidak berjaya dipulihkan apabila BN hanya berjaya menguasai 132 kerusi Parlimen dengan undi popular sebanyak 48.55 peratus sahaja.  Malahan BN masih gagal untuk menguasai negeri-negeri yang sebelum ini dikuasai gabungan pembangkang iaitu Pulau Pinang, Selangor, W.P Kuala Lumpur dan Kelantan.

Kini, sekali lagi rakyat menghadapi pembubaran Parlimen.  


Jadual 1: Tarikh Pembubaran, Penamaan Calon dan Tarikh Pilihan Raya Malaysia

Tahun

Tarikh Parlimen Dibubar

Penamaan Calon

Bilangan Hari Berkempen

Tarikh Pilihan Raya

1959

 

15 Julai (Parlimen),

15 April – 20 Mei (DUN)

35

19 Ogos (Parlimen),

20 Mei – 27 Jun (DUN)

1964

 

21 Mac

35

25 April

1969

20 Mac

5 April

35

10 Mei

1974

31 Julai

8 Ogos

16

24 Ogos

1978

12 Jun

21 Jun

17

8 Julai

1982

29 Mac

7 April

15

22 April

1986

19 Julai

24 Julai

10

3 Ogos

1990

4 Oktober

11 Oktober

10

21 Oktober

1995

6 April

15 April

10

25 April

1999

10 November

20 November

9

29 November

2004

4 Mac

13 Mac

8

21 Mac

2008

13 Februari

24 Februari

13

8 Mac

2013

3 April

20 April

15

5 Mei

2018

7 April

28 April

11

9 Mei

Tarikh keramat bagi penulis sebenarnya bukanlah terletak pada tarikh pilihan raya, namun sebagai sebuah negara majmuk dengan pelbagai isu sensitif terutamanya mengenai negara, raja, agama, bangsa, bahasa, budaya, tahap kesetiaan, tahap menghormati undang-undang dan tahap kematangan berpolitik -  tempoh berkempen adalah tempoh yang kritikal kerana sekiranya tidak dikawal secara cermat dan beretika, dikuatiri kejadian yang tidak diingini akan berlaku.

Keputusan PRU ini akan terjawab pada 9 Mei 2018, sama ada Tun M yang berpengalaman menerajui negara selama 22 tahun walau berumur 93 tahun akan kembali, atau Najib berjaya untuk meneruskan perjuangan merealisasikan TN50. 

Bagaimana pula dengan pakatan pembangkang yang kini bernaung di bawah satu logo PKR? Adakah hanya sebagai gimik politik untuk menarik sokongan pengundi, atau masing-masing masih bermimpi yang berbeza.  Bagaimana pula keadaan Pas yang semakin disisihkan, adakah bersedia untuk bersama UMNO demi kepentingan bangsa Melayu?

DR. MOHD. DINO KHAIRRI SHARIFFUDDIN ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).