Dengan jumlah yang amat signifikan, sewajarnya belia diberikan hak seluas-luasnya untuk mewakili diri mereka sendiri dalam proses pembuatan dasar kerana selain jumlah yang amat signifikan, mereka lebih memahami aspirasi dan kehendak kelompok umur mereka.

Hak untuk berpartisipasi dalam proses pembuatan dasar hak terpenting bagi belia yang wajar diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

Di Malaysia, kerajaan secara berterusan menyediakan ruang dan peluang bagi meningkat dan menghakupayakan partisipasi belia dalam pembuatan dasar berkenaan pembangunan belia melalui platform tertinggi seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan platform berbentuk program iaitu Parlimen Belia Malaysia (PBM).

Para pimpinan belia dan belia bukan sahaja dapat mengambil bahagian dalam proses mencadang dan pembuatan dasar berkenaan pembangunan belia tetapi juga melibatkan dasar-dasar yang berkaitan kepentingan negara. Transformasi Nasional (TN50) dilihat antara ruang demokrasi kepada belia pelbagai peringkat untuk mencorak dasar dan masa depan negara.

Walaupun wujud kesedaran dalam kalangan agensi kerajaan berkenaan dengan hak partisipasi belia dalam pembuatan dasar dalam pelbagai peringkat seperti di peringkat JKK, kerajaan tempatan dan kerajaan negeri namun kelihatan masih belum ke tahap terbaik dan wajar digandakan.

Dalam Persidangan Meja Bulat berkenaan Semakan Berkala Sejagat (UPR) dan Hak Belia yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia pada Februari lepas, telah dibentangkan kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) berkenaan “Belia dan Pembuatan Keputusan dalam Urus Tadbir Pembangunan Negara” (2017) mendapati secara keseluruhan 65.2% responden bersetuju bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih banyak memberikan ruang partisipasi pembuatan dasar berkaitan pembangunan belia berbanding kerajaan iaitu hanya 51%.

Angka 51% dilihat sudah cukup baik namun boleh dipertingkat dengan kesedaran yang meluas berkenaan hak belia pada semua peringkat termasuk majlis agama dan sektor lain seperti lembaga perpustakaan dan lembaga pelawat hospital.

Penulis dan sebahagian besar belia Malaysia mahu melihat lebih ramai calon muda berwibawa ditampilkan dalam proses pembuatan dasar pada peringkat tertinggi negara iaitu Parlimen.

Justeru kempen global, Not Too Young Too Run (NTYTR) wajar diperluas di Malaysia bagi meningkatkan kesedaran dan peluang bagi belia menjadi pembuat dasar di Parlimen sebagai refleksi 46 peratus populasi belia di Malaysia. Kempen ini diharap berterusan sehingga tahun 2050.

Kempen itu pada asalnya adalah usaha sekumpulan belia di Nigeria yang telah berkempen untuk menurunkan had usia untuk bertanding bagi jawatan politik di Nigeria. Matlamat utama kempen tersebut ialah untuk menambahkan suara belia di dalam Parlimen dan partisipasi belia dalam proses politik.

Kemuncak kepada kempen NTYTR di Nigeria ialah dengan mengusulkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan Republik Nigeria mengurangkan had kelayakan umur untuk Presiden dari 40 tahun kepada 30 tahun, Gabenor dari 35 tahun kepada 30 tahun, Ahli Senat dari 35 tahun kepada 30, dan Dewan Perwakilan Rendah dari 30 tahun kepada 25 tahun dan Ahli Dewan Negeri dari 30 tahun kepada 25 tahun.

Usaha belia dari Nigeria tersebut telah menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk turut sama mengambil bahagian dalam usaha memperkasa partisipasi para belia dalam politik.

Pada 22 November 2016 yang lepas, NTYTR telah secara rasminya dilancarkan oleh PBB bawah inisiatif Office of UN Youth Envoy bersempena Forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Kedaulatan Undang-Undang (UN Forum on Human Rights, Democracy and the Rule of Law) di Geneva.

Sebagaimana yang disebut pada awal artikel, ketika ini, bilangan populasi belia adalah terbesar yang pernah dunia ketahui. Separuh warga dunia adalah di bawah umur 25 tahun, dan belia yang berumur antara 15-25 tahun membentuk satu perlima daripada itu.

Namun begitu, belia secara globalnya masih tidak mendapat tempat dan masih kurang wakil di dalam politik, pembuatan dasar dan pejabat kerajaan. Antara faktor utama membawa kepada masalah ini adalah kerana had umur bagi bertanding bagi jawatan politik dan kerajaan.

Majoriti negara di dalam dunia ini mengamalkan polisi yang mana had umur untuk bertanding di dalam pejabat politik adalah lebih tinggi berbanding had umur untuk mengundi. Diskriminasi berdasarkan umur ini juga sering bersama-sama dengan kekangan lain seperti kekangan budaya serta diskriminasi terhadap calon muda.

Pelbagai usaha telah berjalan dalam mempromosikan hak untuk orang muda bertanding dalam politik dan jawatan awam dengan memperjuang untuk menurunkan had umur untuk bertanding.

Pada 2007, kempen “How Old is Old Enough” telah diadakan di England, Wales, dan Scotland untuk menurunkan had umur calon dari 21 tahun kepada 18 tahun, sesuai dengan had umur. Di Turki, orang muda telah melobi untuk mengurangkan had umur calon untuk bertanding di kerusi Parlimen dari 30 tahun kepada 25 tahun pada 2006. Makanya, NTYTR adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang dinyatakan di atas dan cuba untuk menjadikannya sebagai satu usaha kolektif pada peringkat global.

Jika dibandingkan senario di atas, Malaysia tidaklah terlalu teruk mahupun terlalu baik. Malaysia berada pada tahap sederhana dan situasi berpotensi besar untuk terus diperbaiki dan dipertingkat.

Pemilihan orang muda di dalam Parlimen Malaysia bukan satu perkara yang baru. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih menjadi Ahli Parlimen Pekan pada usia 23 tahun. Tan Sri Lee Lam Thye, bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang pula terpilih pada usia 22 tahun.

Hakikatnya, bilangan ahli Parlimen Malaysia berusia bawah 30 tahun mahupun 40 tahun masih lagi rendah dan tidak berpadanan dengan bilangan belia di Malaysia yang mewakili separuh daripada warganegara Malaysia. Mungkin juga ramai calon muda yang kalah apabila berdepan dengan pihak lawan yang lebih senior dan berwibawa.

Cabaran di sini ialah untuk meletakkan calon-calon muda yang lebih berkredibiliti dan pada masa sama mendidik masyarakat agar memilih untuk mengundi calon muda yang berwibawa. Peningkatan pemilihan calon-calon muda dapat menarik minat lebih ramai belia aktif berpartisipasi dalam ruang demokrasi dan pilihan raya.

Justeru adalah wajar untuk kempen Not Too Young To Run ini dijalankan di Malaysia. Bilangan wakil belia dan orang muda harus ditambah bagi memastikan suara orang muda dan belia dapat didengar oleh kerajaan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai badan induk belia di Malaysia seharusnya mengambil usaha lebih menyokong lebih ramai wakil belia dan orang muda menjawat jawatan pada peringkat Persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan.