Pembangunan belia positif adalah pendekatan prososial yang melibatkan belia bersekolah dalam komuniti, organisasi, kumpulan rakan sebaya dan keluarga mereka dengan cara yang produktif dan membina; mengiktiraf, menggunakan dan meningkatkan kekuatan mereka.

Pendekatan ini akan menggalakkan hasil positif untuk golongan muda dengan menyediakan peluang, memupuk hubungan positif, dan memberi sokongan yang diperlukan untuk membina kekuatan kepimpinan mereka.

Dalam ceramah bertajuk, Pembangunan Belia Positif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shahbandaraya, Klang, baru-baru ini, penulis cuba menyampaikan segala pendekatan yang relevan dan bersesuaian agar mampu membantu membangunkan belia secara positif.  

Kombinasi pendidikan formal iaitu yang disampaikan oleh para guru di sekolah dan institusi pembelajaran, bersama-sama dengan pendidikan tidak formal yang diterima daripada aktivis belia, tidak dapat dinafikan akan membangunkan belia sebagai aset positif yang mampu menjadi sebagai sumber daya manusia yang terpenting untuk manfaat negara.

Dalam konteks pembangunan belia termasuk belia bersekolah, elemen penting yang perlu ditekankan ialah peranan daya tahan  dan faktor perlindungan dalam persekitaran orang muda.

Elemen berkenaan  dapat mempengaruhi keupayaan seseorang untuk mengatasi kesukaran.

Faktor seperti sokongan keluarga dan pemantauan orang dewasa yang peduli di samping kumpulan rakan sebaya yang positif, sudah pasti mampu memberi kesan kepada harga diri dan aspirasi masa depan kelompok belia yang disasarkan.

Penglibatan mereka dalam aktiviti sekolah dan komuniti akan membentuk belia menjadi kelompok yang cakna akan persekitaran kehidupan dan lebih penting dapat membangun secara positif.