'Gelanggang' ini terus menjadi perhatian dan bualan rakyat saban hari, di kedai kopi, tempat kerja mahupun media sosial. Penulis juga tidak ketinggalan mengikuti Persidangan Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 16 Ogos depan (20 hari persidangan) setelah dibuka secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Dewan Rakyat
KEHEBATAN suasana Dewan Rakyat mampu memukau sesiapa jua yang menjejakkan kaki buat pertama kali di dalamnya.

Parlimen Malaysia yang terdiri dari daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat melambangkan keutuhan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang kita junjung tinggi selama ini. Amat penting untuk kita warganegara Malaysia untuk menghormati institusi ini.

Sesi Parlimen kali ini memotretkan sejarah baharu buat Malaysia kerana menjadi persidangan pertama di era Malaysia Baharu. Pakatan Harapan (PH) kini mengambil ‘kerusi’ yang diduduki oleh Barisan Nasional di dalam dewan semenjak 60 tahun setelah menjadi ‘pemilik’ baharu Putrajaya hasil mandat besar rakyat  Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penulis baru-baru ini bersama rakan pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpeluang menyaksikan secara langsung perbahasan para Yang Berhormat di Dewan Rakyat dari kerusi pemerhati.

Sebelum ini penulis hanya berkesempatan mengikuti persidangan melalui siaran di televisyen dan dalam talian sahaja.

Menonton sendiri di depan mata secara dekat membuatkan penulis tidak senang duduk dek kerana penangan rasa ‘bahang’ dan aura Dewan Rakyat itu kuat sekali, tetapi tidak menggugah fokus pada intipati persidangan. Terima kasih penulis rakamkan kepada Parlimen Malaysia atas peluang yang diberikan.

Tarikh keramat 9 Mei 2018 akan sentiasa dikenang erat dalam lipatan sejarah negara bagaimana rakyat Malaysia yang menjunjung proses demokrasi memperlihatkan kuasa undi yang dimiliki untuk mengubah komposisi di Dewan Rakyat yang kita lihat pada hari ini. Statistik mudah hasil PRU-14 menunjukkan PH menguasai 124 kerusi Parlimen, Barisan Nasional (BN) dengan 54 kerusi, diikuti Pas sebanyak 18 kerusi  manakala Bebas pula 26 kerusi.

Mereka yang dahulu garang menyerang kerajaan BN dengan pelbagai isu, ditambah dengan pelbagai episod drama di Parlimen, kini berada di kedudukan yang diidamkan sekian lama. Padang permainan kini sudah tidak sama lagi malahan rentak tari juga sudah berubah, justeru kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu segera menyesuaikan diri dengan peranan masing-masing di Dewan Rakyat. Ini memandangkan di sebalik semua ini, lebih penting adalah memenuhi harapan rakyat yang menggunung tinggi pada perubahan yang mereka janjikan.

Atas hakikat itu Parlimen terus menjadi tumpuan pelbagai pihak sejak mula bersidang untuk melihat kehebatan ‘taji’ kerajaan baharu serta wibawa ahli Parlimen BN yang pertama kali menduduki dan mengetuai blok pembangkang.

Yang di-Pertuan Agong ketika menyampaikan titah ucapan baginda mengingatkan ahli Parlimen bahawa mereka menggalas tanggungjawab yang besar di dalam dewan yang mulia ini.

“Ahli-ahli Yang Berhormat harus menggalas tugas dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi. Beta percaya ahli-ahli yang berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik dan lagi benar”.

Baginda juga menekankan untuk ahli Parlimen memberi sebarang cadangan dan teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan dan bertatasusila demi memastikan institusi Parlimen terus dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar.

Titah Yang di-Pertuan Agong ini jika ditafsir dari perspektif yang lebih luas, penulis merasakan adalah satu ‘ketukan’ kepada setiap ahli Parlimen untuk meninggalkan segala mentaliti, tabiat dan sikap lama mereka ketika berada di posisi lama dahulu.

Mereka yang bernaung di bawah payung pembangkang dahulu kini perlu menunjukkan teladan dan bersikap sebagai kerajaan manakala kerajaan lama pula perlu menyerlah wibawa, kredibiliti dan kematangan sebagai pembangkang baharu yang konstruktif pasca PRU-14.

Jika dilihat sosok ahli Parlimen yang membarisi kedua-dua belah pihak, sebenarnya mempunyai keseimbangan dari aspek kemampuan berhujah dengan baik, kematangan membawa pelbagai isu lokal dan kekuatan mempertahankan pendirian premis masing-masing.

Jika dilihat dari aspek pengalaman mentadbir kerajaan, PH mempunyai mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat kemunculan bersejarah semula dalam arena politik negara serta Lim Guan Eng dan Azmin Ali yang pernah mengemudi kerajaan negeri.  

Usah dilupa juga Tan Sri Muhyiddin Yasin yang pernah menjadi orang nombor dua kepada Perdana Menteri keenam sebelum kedua-duanya ‘bertalak tiga’ pada 2015.

Di blok pembangkang, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan bekas ketuanya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak mudah goyang mempertahankan segala dasar dan tindakan yang dilaksanakan Kerajaan BN sebelum ini serta diperkuatkan dengan dokongan padu ahli Parlimen BN yang lain.

Ahli Parlimen PH yang kerap membuat ribut dan gempita dahulu antaranya M Kulasegaran, Khalid Samad, Teressa Kok, Gobind Singh Deo, Anthony Lok Siew Fook dan Hanipa Maidin kini menduduki jawatan menteri dan timbalan menteri lalu perlu berhadapan pula dengan serangan daripada mantan menteri Kabinet BN seperti Khairy Jamaludin, Ismail Sabri Yaakob, Wee Ka Siong, Mustapa Mohamed, Noh Omar, Ahmad Maslan dan Tajudin Abdul Rahman.

Diberi peluang kira-kira sejam mendengar perbahasan di Dewan Rakyat, penulis mempunyai keyakinan yang positif bahawa ahli-ahli Parlimen ini mampu menghasilkan perbahasan yang berwibawa, kompeten dan berkesan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

Keberadaan ahli Parlimen berpengalaman yang turut aktif dalam perbahasan secara tidak langsung ‘mengajar’ 90 wakil rakyat baharu dalam persidangan ini akan sepak terajang di Dewan Rakyat. Usah diungkit lagi apa sebab musabab rakyat memilih PH dan menolak BN dalam PRU lalu kerana saat ini adalah masa untuk bekerja dan membela rakyat.

Parlimen adalah simbol dan platform tertinggi demokrasi yang menjadi medan ulung untuk mendengar suara hati dan denyut nadi rakyat.

Secara zahirnya, Parlimen kali ini betul-betul berwajah baharu, bagi penulis keadaan kekok dan canggung berbahas itu pasti ada, bertikam lidah itu adalah rencahnya, riuh-rendah itu adalah irama yang sudah terbiasa, tetapi matlamat akhirnya kita ingin lihat daripada institusi ini akan lahir ahli Parlimen yang mempunyai visi, misi dan wawasan yang jelas.

Tidak sekadar menjadi wakil rakyat kepada konstituensi yang diwakili atau cauvinis pada kaum tertentu dan berdegar-degar bercakap politik semata, tetapi mereka perlu membawa suara rakyat pertiwi tercinta ini secara keseluruhannya kerana merekalah menjadi tangan-tangan yang menjulang Yang Berhormat ke kedudukan ini.

Sekadar nasihat ringkas, ahli Parlimen PH dan BN wajib bekerja keras di dalam dan luar dewan sehingga PRU-15, selamat bersidang!

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.