Dua isu terkini yang menjadi polemik ialah desakan untuk kerajaan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) atau dalam bahasa Melayunya Sijil Peperiksaan Bersekutu, yang bukanlah satu perkara baharu, di samping cadangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Mujahid Yusof Rawa untuk menutup semua sekolah tahfiz yang didakwa tidak memberi masa depan kepada generasi baharu umat Islam.

Mengenai UEC, saya masih ingat pada November 2015, mantan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching menegaskan bahawa kementerian enggan mengiktiraf UEC kerana UEC tidak selaras dengan kurikulum kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.  

Rata-rata yang mengambil UEC di negara ini adalah warganegara Malaysia, yang sepatutnya dididik berdasarkan premis bahawa sistem pendidikan perlulah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi merealisasikan aspirasi negara ini.  Justeru tidak perlu dibincangkan lagi sama ada perlu diiktiraf sijil ini atau tidak.

Sekolah tahfiz dan pondok pula merupakan legasi warisan pendidikan yang wujud beratus tahun di negara ini, sejak dari mula kedatangan agama Islam di tanah bertuah ini. 

Tidak wajar langsung warisan negara ini dihapuskan begitu sahaja, malah perlu diperkasa dan dimantapkan seiring dengan kemajuan teknologi global agar anak-anak lepasan tahfiz dan pondok ini bakal menjadi cendekiawan Islam yang unggul. 

Selaras dengan hasrat ini, sekumpulan penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membangunkan Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang memberi penekanan kepada inisiatif untuk menawarkan latihan kemahiran dan keusahawanan kepada pelajar institusi tahfiz dan pondok, supaya mereka dapat memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan ummah dan negara, dan memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

PISH membuka peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama melalui program yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi.  Justeru lupakan sahaja niat untuk menutup sekolah tahfiz dan pondok. 

Namun begitu, yang menarik perhatian saya adalah bagaimana laungan untuk mengiktiraf UEC ini begitu lantang diperkatakan dan mendapat liputan media dengan meluas, justeru menenggelamkan isu pendidikan yang sepatutnya diperjuangkan demi kepentingan majoriti anak-anak warganegara yang sedang mengikuti sistem pendidikan kita. 

Saban hari kita didendangkan dengan desakan ini dan saban kali juga kepimpinan pendidikan menyahut desakan itu. 

Apakah isu sekolah-sekolah daif yang tidak dibaik pulih sejak merdeka lagi di pedalaman tidak penting?  Apakah bangunan sekolah yang reput dimakan anai-anai atau dihanyutkan arus sungai yang deras lalu mengancam nyawa anak-anak kita di Sabah dan Sarawak tidak patut diutamakan?  Apakah sekolah-sekolah yang hanya berbekalkan elektrik pada waktu siang dan berteman pelita ketika belajar di asrama pada waktu malam tidak wajar dipedulikan?

Soalnya – siapa yang mewakili suara rakan-rakan guru yang bertarung nyawa mendidik anak-anak bangsa kita sedangkan kita begitu ghairah melayani laungan dan desakan daripada kumpulan yang memang kita tahu mempunyai prasarana yang lebih daripada lengkap untuk belajar? 

Siapa yang akan memperjuangkan nasib anak-anak berkeperluan khas yang masih memerlukan prasarana yang dapat memudahkan mereka untuk mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, sama seperti anak-anak arus perdana yang lain? 

Siapa yang akan membawa keluar keluhan Orang Asli yang masih memerlukan bekalan elektrik dan tandas yang selesa, serta kelengkapan asas untuk belajar? Jangankan internet, tenaga elektrik, bekalan air bersih juga adalah satu kemewahan kepada majoriti kawasan di negara ini. 

Setelah 61 tahun merdeka, wajarkah keadaan ini masih wujud di Malaysia?

Sesungguhnya Menteri Pendidikan menggalas tanggungjawab yang cukup besar dalam memastikan anak-anak warganegara mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti secara berterusan seperti yang termaktub dalam kedua-dua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan PPPM (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. 

Sebagai custodian atau ‘penjaga’ pendidikan di era Malaysia Baharu ini,  beliau bertanggungjawab memastikan lebih lima juta murid dan jutaan lagi mahasiswa seluruh negara dibangunkan selaras hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar mampu menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara. 

Beliau juga mempunyai tugas yang berat untuk menggembleng tenaga lebih sejuta warga pendidik di sekolah dan institusi pendidikan tinggi dalam membentuk generasi akan datang yang bakal memacu negara ke arah masa hadapan yang lebih gemilang. 

Pastinya beliau memerlukan kerjasama yang padu daripada semua warga pendidikan, ibu bapa dan masyarakat dalam memastikan aspirasi negara direalisasikan. 

Kementerian Pendidikan tidak boleh hilang fokus dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.  Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi menjamin matlamat untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok satu pertiga teratas negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia dapat dicapai. 

Berdasarkan Laporan Tahunan PPPM yang diterbitkan saban tahun, kita berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat tersebut.  Janganlah kita membazirkan tenaga dengan melayani isu yang tidak mendatangkan faedah kepada majoriti anak bangsa Malaysia, hanya kerana mereka lebih lantang bersuara. 

Dengarlah bisikan anak-anak kelainan upaya, anak-anak di kampung, Orang Asli, mereka di kawasan pedalaman ataupun anak-anak yang memerlukan perhatian di bandar.  Pendidikan berkualiti sememangnya untuk mereka. 

PENULIS ialah pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).