Perdana Menteri dalam kenyataan rasmi sempena mengumumkan pembubaran yang berkuat kuasa esok telah memberikan jaminan bahawa demokrasi berparlimen di negara ini akan terus dipelihara dan dipertahankan berdasarkan prinsip yang telah disepakati berteraskan Rukun Negara.

Majlis Belia Malaysia (MBM) amat menyanjung tinggi perkara ini demi memastikan keharmonian hidup bernegara terus diutamakan. Negara akan terus utuh dengan kukuhnya institusi-institusi yang menjadi tiang-tiang seri kenegaraan seperti institusi raja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kepolisan dan sebagainya.

MBM amat meyakini SPR sebagi institusi yang diamanahkan bagi menguruskan pilihan raya di negara ini sejak sekian lama mampu melakukan yang terbaik.

Keunikan piihan raya di negara ini adalah partisipasi rakyat sebagai pelaksana utama proses pilihan raya dan SPR sebagai penyedia fasiliti tersebut. Malah MBM juga turut terlibat sebagai Pemerhati Tempatan buat sekian kali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

MBM amat mendokong usaha ke arah kematangan berpolitik di negara ini kerana pilihan raya yang unggul juga menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat.  

Parti-parti yang bertarung, calon-calon yang bertanding, jentera parti yang bergelamung perlu mematuhi peraturan pilihan raya dan menunjukkan sikap terpuji dan bertanggungjawab. Dunia memerhatikan kita sepanjang tempoh Malaysia Memilih di PRU-14 ini.

Bagi maksud tersebut MBM juga amat meraikan segala bentuk kempen politik yang kreatif dan luar kebiasaan dalam menarik sokongan dan meyakinkan pengundi, daripada manifesto dan tawaran serta janji-janji, poster sehinggalah kepada program penerangan pelbagai media yang diatur.  Namun keghairahan berkempen perlulah berdasarkan kepada fakta dan kebenaran bukan cuma keghairahan mengekal atau merampas kekuasaan.

PRU-14 menjadi petunjuk mentaliti rakyat Malaysia yang semakin bijak membuat pilihan dan menilai pendekatan parti bertanding untuk memenangi hati pengundi. Malah ia juga petunjuk kepada perubahan cara fikir kesan pembangunan yang telah dinikmati dan keinginan untuk terus maju.

Selamat bertanding kepada semua parti dan calon yang menawarkan diri.

Kepada semua rakyat Malaysia yang akan memilih pula, selamat melaksanakan pesta demokrasi dan pilihlah untuk mengekalkan keamanan, pembangunan  dan kejayaan negara demi masa depan kita. 

Kepada anak muda negara dan pengundi muda, marilah kita tunaikan tanggungjawab ini sebaik-baiknya kerana kitalah masa depan negara.