Jika baik rakyatnya, maka baiklah kerajaan pilihan dan jika buruk rakyatnya, maka buruk jugalah pimpinan yang bakal menerajui kerajaan semasa.

Begitulah secara ringkas berkenaan sistem demokrasi yang diamalkan di mana-mana negara di dunia ini.

Pada pandangan saya selaku mahasiswa, Malaysia yang pada tahun ini bakal menjalankan proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dilihat masih lagi belum bersedia untuk melakukan sebarang peralihan kerajaan.

Perpaduan parti komponen tunjang kelangsungan

Umum mengetahui bahawa kerajaan dipimpin UMNO-BN mentadbir Malaysia hampir tujuh dekad dan telah menunjukkan prestasi yang baik selama kepimpinannya.

Kerjasama antara parti komponen semenjak dari zaman Perikatan sehinggalah bertukar nama kepada Barisan Nasional membuktikan bahawa gabungan parti ini serius dalam mentadbir negara tanpa meletakkan kepentingan peribadi sebagai keutamaan.

Hal ini dilihat berbeza sekali dengan pihak pembangkang yang beberapa kali menjalinkan pakatan bersama komponen pembangkang seperti Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan yang terbaru Pakatan Harapan namun masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), akhirnya berakhir kepada perpecahan dek kerana krisis dalaman antara mereka.

Mengikut pandangan saya selaku mahasiswa,  UMNO yang menunjangi komponen di dalam Barisan Nasional bukanlah sebuah parti yang terbaik. Namun begitu, selaku anak muda berbangsa Melayu yang sering memerhati landskap politik di Malaysia, saya melihat parti UMNO ini yang didominasi secara keseluruhannya oleh bangsa Melayu masih belum boleh diganti oleh sebarang parti yang wujud melalui serpihan perpecahan UMNO seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas contohnya.

Jika pada pilihan raya ini ada gabungan komponen parti yang lebih baik daripada UMNO-BN dan mampu memberikan jaminan lebih baik, anak muda tidak akan teragak-agak untuk menukar kerajaan semasa untuk memberikan nafas baru kepada landskap politik Malaysia.

Agak malang sekali, gabungan pakatan pembangkang selain DAP iaitu PAN, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditunjangi oleh orang Melayu dilihat masih gagal mencapai kata sepakat untuk duduk di bawah satu parti.

Dari sudut pandang anak muda, gabungan parti Melayu pembangkang ini jelas dilihat gagal untuk duduk di bawah satu lembayung kerana setiap daripadanya masih berkepentingan peribadi dalam memperjuangkan nawaitu masing-masing.

Anak muda perlu rasional memilih

Jika pada hari ini anak muda terutamanya mahasiswa bercita-cita untuk menukar kerajaan sedia ada, anak muda wajib menyokong sepenuhnya jika ‘pengganti’ kepada kerajaan UMNO-BN ini mampu menawarkan servis yang lebih baik daripada kerajaan semasa.

Pepatah Melayu ada menyebut, jangan menang sorak sehingga kampung tergadai.

Jika isu yang cuma melibatkan pendaftaran pun masih belum dapat selesaikan sehingga ke hari ini, bagaimanakah pula dengan jaminan Pakatan Harapan untuk mentadbir negara tercinta ini?

- Penulis ialah Ikon Mahasiswa Nasional (Pemanas 4.0).