Bagi memahami kehendak dan mendekati golongan ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengupas isu ini melalui siri bual bicara Youth Leaders dengan tajuk “Kreativiti Politik Raih Sokongan Orang Muda”.

Dialog ini menampilkan pemimpin muda daripada berlainan latar belakang politik antaranya Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dan Exco Angkatan Muda Keadilan, Amin Ahmad, dengan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong, sebagai moderator.


Shahril yang juga Pengerusi Biro Profesional Muda menyatakan, jumlah 42% daripada 15 juta pengundi yang sudah mendaftar sebagai pemilih adalah trend atau perkembangan positif dalam kalangan majoriti anak muda di negara ini mengenai kesedaran dan komitmen untuk terbabit dalam proses demokrasi.


Amin turut bersetuju dan menambah perlunya proses pendaftaran dipermudahkan seperti kaedah automatik apabila mencapai had umur supaya golongan muda diberi rangsangan dan semangat agar lebih ramai lagi terlibat dalam proses demokrasi.

Menyentuh mengenai penglibatan anak muda dalam politik, Shahril menyatakan literasi politik perlu dibezakan dengan semangat kepartian. “Lazimnya dalam kebanyakan negara di dunia, semakin maju negara itu semakin kurang keahlian dalam parti politik. Dalam konteks Pemuda UMNO, kita melihat golongan muda dalam pelbagai segmen atau minat. Jadi kita pastikan produk-produk kita sesuai dengan golongan muda yang pelbagai ini,” katanya.


Amin pula melihat aspek survival anak muda perlu diberi keutamaan dan inilah yang diperjuangkan oleh parti Keadilan selama ini. “Jika kita mahu melihat kepada kelompok anak muda, kita perlu melihat secara holistik maksudnya walaupun parti politik tak mungkin mendapat undi dari kelompok bawah 18 tahun namun dari perancangan aspek dasar dan polisi kita perlu melihat 30 tahun kehadapan” ujarnya yang juga Ketua Biro Latihan Keadilan.


“Bagi Pemuda UMNO khususnya Barisan Nasional, kita memberikan naratif atau tawaran kepada golongan muda masa depan yang lebih lestari, realistik serta bertanggungjawab. Apa yang kita harapkan golongan muda bijak menilai manifesto yang disajikan oleh parti-parti politik kerana janji kita bukan untuk setahun dua tetapi untuk jangka masa panjang” kata Shahril di akhir sesi dialog.


Amin menyatakan pendekatan berbeza di pihak Pakatan Harapan; “Kita melihat dalam konteks hari ini dan tidak boleh lari daripada realitinya. Oleh itu, belanjawan negara perlu diberi penekanan menyeluruh dalam erti kata pembangunan lebih sekata dan rakyat merasai impaknya.”

PENULIS ialah Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM).