Tanggal 9 Mei akan menjadi tarikh keramat dalam lipatan sejarah negara kita, kerana diberitakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan bapa kepada segala pilihan raya di Malaysia.

Ketika catatan ini dicoret, penamaan calon sudah selesai terlaksana, hanya kepanasan kempen akan berterusan sehingga tengah malam 8 Mei 2018.

Gendang sudah dipalu. Pastinya setiap parti mahupun individu calon sudah tahu mengatur strategi. Semangat dan motivasi sudah mula dipupuk. Setiap pihak, sama ada BN, PH (yang kini bertanding di bawah satu logo PKR) mahupun Pas semakin rancak dan bersemangat merencana gerak kerja awal bagi menghadapi perlawanan genting itu.

Masing-masing sudah memasang harapan dan matlamat tersendiri. Pastinya juga sudah pasti ada yang sudah termimpi-mimpi menakluki Putrajaya. BN pasti ingin mempertahankan kemenangan pada PRU-13 malah berazam untuk mencapai kejayaan jauh lebih baik di bawah kepimpinan, panglima Bugis, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PH pula pasti mahu berusaha mencipta sejarah menerajui kepimpinan negara buat julung-julung kalinya. Itulah matlamat mereka, yang pasti akan dilaksanakan oleh jentera parti masing-masing. Apatah lagi kali ini bahtera mereka diterajui oleh mantan perdana menteri selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pastinya segala pengalaman beliau akan diperah sehingga kering untuk merealisasikan impian menghapuskan legasi 60 tahun Barisan Nasional.

Satu tepukan hormat saya berikan buat Najib, kerana bagi penulis, beliau berjaya mengemudi bahtera negara walaupun sering kali dilanda ombak keraguan dan fitnah. Ditambah, kini setiap maklumat mudah didapati hanya di hujung jari. Keabsahan sering diletak tepi, hanya kerana sensasi berita lebih enak ditelan.

Hakikatnya, bukan mudah untuk memikul amanat apatah lagi memimpin sebuah negara yang unik yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama,budaya dan kehendak.

Siapa saja yang menerajui negara ini pastinya pening kepala memikirkan kelangsungan dan kelestarian perpaduan yang harus dikekalkan agar simbiosis hidup di bawah satu naungan ini dapat diteruskan.

Ditambah dengan situasi ekonomi dan kemelesetan kekuatan pembelian dalam kalangan pengguna menyebabkan siapa sahaja yang beralih ke Putrajaya pasti tidur malamnya tidak lena.

Berbalik kepada isu pilihan raya, saya menyeru agar rakyat dan juga calon-calon yang bertanding, terus tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi secara melampau. Berpolitik secara sihat, jangan menyerang peribadi lawan kita.

Sudah menjadi adat untuk kita bersaing dan menegakkan pendirian kita namun janganlah sampai melukai apatah lagi sampai merusuh.

Ingat, kita ini hidup bermasyarakat, jangan disebabkan oleh PRU-14 ini akhirnya kita menjadi terpencil hidup sendirian apabila habis sahaja musim ini.

Kita sebagai rakyat bertamadun harus belajar untuk cuba bersetuju untuk tidak bersetuju. Tidak dinafikan, bukan mudah melakukannya, namun jika kita mempunyai jati diri yang kuat serta menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Ilahi, pastinya kita dapat bertidak secara profesional melampaui batas-batas emosi.

Saya juga menggesa agar setiap pengundi berdaftar, yang telah diwartakan, untuk keluar mengundi dengan jiwa yang bersih. Cernalah setiap pandangan serta nilailah dengan telus perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang lampau untuk dijadikan batu pengukur membuat pilihan. Jangan kerana tidak tahu membuat keputusan maka kita memboikot untuk mengundi, bagi penulis itu satu tindakan yang kurang bijak kerana kita gagal bertindak sebagai rakyat yang diberi mandat membentuk masa depan negara.

Pada masa yang sama, jangan berpaksikan emosi dalam membuat keputusan kerana undi anda bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Janganlah disebabkan pangkahan yang kita lakukan, anak cucu kita sengsara kelak. Jangan tersalah pilih, kelak teruk padahnya. Jangan sekali-kali menggadai masa depan hanya kerana dendam. Undi anda penentu kepimpinan negara.

Pilihlah mereka yang berjiwa besar yang melihat serta memiliki visi yang melampaui hari esok. Mereka yang tahu bagaimana untuk membawa negara pada zaman yang penuh dengan ranjau.

Pastinya PRU-14 akan menjadi sesuatu yang amat menarik dalam lipatan sejarah, apatah lagi beberapa pembaharuan juga akan diperkenalkan buat pertama kalinya, seperti tiada lagi masa bantahan ketika penamaan calon.

Banyak analisis awal yang telah dibuat oleh para penganalisis politik berkenaan gambaran awal dan juga kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada PRU-14 nanti.

Apa yang pasti, PRU-14 bakal menjadi satu pilihan raya yang akan menentukan status kedudukan parti-parti yang bertanding, sama ada masih mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat ataupun sebaliknya.

Jika keputusan PRU-13 dahulu dikatakan satu sejarah baharu dalam arena politik negara, saya merasakan tidak mustahil akan tercipta satu lagi sejarah baharu pada PRU-14 nanti.

Saya menyifatkan PRU-14 sebagai pilihan raya media sosial sepenuhnya dalam negara yang mana menjadi pemangkin untuk ahli-ahli politik berkomunikasi dengan masyarakat. Malah peperangan media sosial ketika ini sudah pun berlaku dan hampir setiap minit ada saja pertempuran di mana-mana laman media sosial.

Kita terpaksa menerima hakikat jentera siber bukan lagi jentera picisan sebaliknya mereka mempunyai jaringan yang cukup kuat dalam mendepani serangan lawan dan menyalurkan maklumat segera kepada golongan sasar, kerana segalanya kini hanya di hujung jari.

Harapan saya, jangan dijadikan medium ini sebagai penyebar fitnah dan adu-domba pelbagai pihak yang boleh merosakkan perpaduan yang sedia ada.

Harus diingatkan, negara kita bukan dibina dalam sesaat. Ia juga boleh musnah dalam sekelip mata.

Bagi pengundi pula, anda harus bijak dalam menapis semua maklumat yang diterima. Gunakan akal yang rasional tanpa prejudis.

Jangan jadikan masa depan diri, keluarga dan negara sebagai sesuatu yang boleh diperjudikan.

Pada mereka yang sudah mula berfikir untuk tidak keluar mengundi pada PRU-14 ini, fikir baik-baik, kerana satu undi boleh merubah segalanya.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap ini soal remeh, tetapi tanpa disedari dengan hanya satu undi yang kita pangkah, kesannya amat besar dalam kehidupan dan masa depan kita.

Lihat apa yang berlaku dalam lipatan sejarah;

  • Pada tahun 1649, satu undi telah menyelamatkan King Charles of England daripada dihukum bunuh;
  • 1839, satu undi telah menyebabkan Marcus Morton dilantik Gabenor Massachusetts, Amerika Syarikat;
  • 1845, satu undi telah membolehkan Texas menyertai Gabungan Amerika Syarikat;
  • 1868, satu undi telah menyelamatkan Presiden Andrew Johnson daripada dihukum;
  • 1923, kelebihan satu undi telah menyebabkan Adolf Hitler dilantik presiden parti Nazi.

Maka marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab kita sebagai penentu hala tuju negara.

Undi kita amat berharga. Undi tidak boleh dijual beli. Maka undilah untuk Malaysia!

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI ialah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia (UUM)